Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan untuk mengekalkan perkhidmatan feri di negeri itu.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata keputusan itu adalah selari dengan pendirian kerajaan negeri serta penduduk Pulau Pinang yang mahukan perkhidmatan pengangkutan berusia 126 tahun tersebut terus beroperasi.

“Saya mendapat tahu mengenai perkara ini pagi tadi dan mengalu-alukannya supaya perkhidmatan feri ini akan terus dinikmati bukan sahaja oleh penduduk tempatan malah orang luar dan pelancong,” katanya kepada pemberita di sini.

Chow berkata beliau memahami risiko meneruskan perkhidmatan sedia ada sekiranya piawaian keselamatan feri gagal dipatuhi dan kos baik pulihnya pula adalah tiga kali ganda lebih mahal.

Beliau berkata perkara itu boleh diatasi jika Kerajaan Persekutuan memberi peruntukan secukupnya kepada Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) untuk mengekalkan perkhidmatan feri seperti yang sedia ada.

Sebelum ini, SPPP mengumumkan perkhidmatan feri Pulau Pinang, yang menghubungkan tanah besar di Seberang Perai dengan bahagian pulau negeri itu, akan diganti dengan bot penumpang laju bermula 1 Jan ini manakala feri sedia ada pula hanya digunakan sebagai medium pengangkutan bagi pengguna basikal dan motosikal.

Bagaimanapun, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam sidang Dewan Rakyat pagi tadi berkata PPSB akan ‘disyaratkan’ untuk meneruskan perkhidmatan feri Pulau Pinang yang sudah menjadi ikonik dan warisan di negeri itu buat masa ini.- BERNAMA