Asisten Komisioner Arifai Tarawe.

KUALA LUMPUR – Polis masih memburu tujuh warga Bangladesh yang menghilangkan diri selepas dikesan terlibat memalsukan dokumen keputusan ujian saringan Covid-19 di Rawang, Selangor.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP, Arifai Tarawe mengingatkan bahawa mereka tidak boleh bersembunyi dan lambat laun polis akan mengesan mereka.

Menurut Arifai, kesemua suspek menggunakan dokumen yang dipalsukan untuk bekerja di sebuah syarikat pembinaan di Pontian, Johor.

“Namun, apabila pihak syarikat menghendaki keputusan ujian Covid-19 dan meminta pengesahan dari klinik yang mengeluarkannya, kesemua suspek tersebut telah menghilangkan diri sejak itu iaitu selepas klinik terbabit mengesahkan dokumen tersebut sebagai palsu,” katanya dalam kenyataan.

Tindakan polis itu menyusul selepas menerima laporan polis dari sebuah klinik swasta di Rawang yang mendapati keputusan Covid-19 yang dikemukakan kepada majikan mereka adalah palsu.

Sebuah portal berita semalam melaporkan Pengasas klinik SP Care di Rawang, Dr.Sathia Prakash Nadarajan sebelum ini berkata, beliau telah mengenal pasti hampir 20 kes pemalsuan keputusan Covid-19.

Menurut doktor itu, setiap kali ujian Covid-19 dilakukan terhadap seorang individu, keputusannya akan disalin dalam bentuk dokumen yang mempunyai maklumat individu serta nombor rujukan dari klinik mereka.

Menurut Arifai, kes disiasat di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette