Penguatkuasa KPDNHEP WPKL akan terus membuat pemantauan dan pemeriksaan di premis-premis perniagaan dan peniaga sepanjang PKP ini.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 70,689 aduan kenaikan barang diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sejak bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac yang lalu sehingga semalam.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 4,743 notis dikeluarkan di bawah Seksyen 21(2) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 kepada peniaga yang didapati menaikkan harga barang tanpa alasan munasabah.

“(Sebanyak) 5,142 daripada aduan tersebut adalah berkaitan kenaikan harga barangan di sepanjang PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan),” katanya.

Menurut Alexander, dalam tempoh yang sama, penguat kuasa kementerian itu telah memeriksa 214, 760 premis perniagaan sebagai langkah pemantauan.

Beliau memberi jaminan kementeriannya tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan menaikkan harga dengan sewenangnya oleh peniaga.

“Pemantauan dan pelaksanaan memang dilaksanakan bagi menyiasat aduan-aduan yang berkaitan dengan kenaikan harga barangan,” katanya.

Semalam, tinjauan MalaysiaGazette mendapati rata-rata pengguna mengeluh berikutan kenaikan harga barangan keperluan harian yang dikesan berlaku sejak kebelakangan ini.

Beban semakin terasa lebih-lebih kantung semakin susut sejak pelbagai sekatan melibatkan penularan Covid-19 dilaksanakan. -MalaysiaGazette