Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Azmin Ali bercakap kepada media selepas hadir menziarahi ibu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Allahyarhamah Tun Rahah Mohd Noah yang meninggal petang tadi di Jalan Eaton, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 18 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Hari ini disifatkan oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI),  Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai hari yang menyedihkan buat seluruh rakyat Malaysia kerana isteri Perdana Menteri kedua meninggal dunia.

Beliau yang mengambil peluang memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah juga mengambil kesempatan mengucapkan takziah kepada Datuk Seri Najib Razak yang kehilangan ibunya.

“Saya datang untuk menyampaikan ucapan takziah kepada Datuk Seri Najib dan keluarga di atas pemergian Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah sudah tentukan pemergian ini adalah satu kehilangan yang amat besar kepada negara kerana Tun Razak dan Tun Rahah merupakan tokoh penting dalam pembentukan negara,” katanya kepada pemberita di luar Kediaman Allahyarhamah Tun Rahah di Jalan Eaton malam ini.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Azmin Ali hadir menziarahi ibu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Allahyarhamah Tun Rahah Mohd Noah yang meninggal petang tadi di Jalan Eaton, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 18 DISEMBER 2020.

Menurut Mohamed Azmin, kejadian hari ini turut mengimbas kembali dirinya dibawa oleh allahyarham bapanya ke majlis pengkebumian Tun Abdul Razak Hussein pada tahun 1976 di Masjid Negara.

 “Saya masih ingat Tun Razak meninggal pada 1976, ayah saya membawa menghadiri majlis pengkebumian pada masa itu kerana rakyat Malaysia melihat kepimpinan Tun Razak sebagai tokoh negarawan terbilang dan amat disegani dan sudah tentu jasa dan pengorbanan Tun Rahah penting untuk membantu suaminya memimpin negara. Hari ini hari yang amat sedih bagi kita semua,” tambahnya.

Dalam pada itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang turut hadir malam ini menggambarkan Tun Rahah satu sosok yang sangat terpuji dengan sifat dermawan dan keibuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamed Al-Bakri hadir menziarahi ibu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Allahyarhamah Tun Rahah Mohd Noah yang meninggal petang tadi di Jalan Eaton, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 18 DISEMBER 2020.

Sifat itu kata beliau menjadikan allahyarhamah cukup dikenali.

“Saya tidak katakan kepada allahyarhamah kecuali yang baik-baik, jasanya, sikapnya, kesabarannya, dermawannya dan segala sifat terpuji dengan sifat keibuan terwujud padanya. Insyallah Allah ganjarkan padanya untuk ganjaran orang-orang yang soleh,” katanya.

Zulkifli turut berharap Datuk Seri Najib Razak yang baru sahaja kehilangan ibu tercinta dan seisi keluarga tabah menghadapi ujian. 

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bercakap kepada media selepas hadir menziarahi ibu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Allahyarhamah Tun Rahah Mohd Noah yang meninggal petang tadi di Jalan Eaton, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 18 DISEMBER 2020.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki juga merakamkan takziah kepada Najib dan keluarga atas pemergian Tun Rahah yang disifatkan berjasa kepada negara.

“Arwah pernah menjadi wanita pertama negara dan saya kira ia satu ia satu amat dirasai bukan sahaja keluarga tetapi seluruh rakyat Malaysia,” katanya.- MalaysiaGazette