Gelagat Santa Claus melambaikan tangan kepada pengunjung yang hadir sempena sambutan perayaan Krismas ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sebuah pusat beli belah Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 12 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Sambutan krismas bagi penganut Kristian pada 25 Disember ini hanya dibenarkan bagi kawasan yang diwartakan sebagai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, aktiviti kunjung mengunjung dibenarkan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan berdasarkan jumlah dan keluasan kediaman pada hari pertama perayaan itu sahaja.

Manakala majlis rumah terbuka dan nyanyian karol adalah tidak dibenarkan.

“Mengenai lawatan ke rumah, di kawasan PKPB dan PKPP sama sahaja, di hari pertama di kediaman landed (bertanah) hanya keluarga terdekat tidak melebihi 20 orang pada satu masa manakala kediaman strata keluasan kurang 1,500 kaki persegi tidak melebihi 10 orang bagi keluasan 2,500 kaki persegi ke atas tidak melebihi 15 orang pada satu masa.

“Semua ahli keluarga yang terlibat dalam kunjung-mengunjung perlu mematuh SOP seperti memakai pelitup muka, penjarakan sosial dan sebagainya,” katanya pada sidang media perkembangan PKP hari ini.

Upacara sembahyang di gereja pula, kata Ismail, dibenarkan untuk kawasan PKPB dan PKPP pada 24 dan 25 Disember pada waktu yang ditetapkan.

“(Pada) 24 Disember upacara sembahyang perlu diadakan pada 5 petang sehingga 9.30 malam sahaja dengan pembahagian dua kali sesi iaitu satu sesi sejam setengah diselangi operasi sanitasi selama 45 minit.

“Manakala pada 25 Disember upacara sembahyang dibenarkan pada 7 pagi sehingga 1.45 petang dengan pembahagian tiga sesi (satu sesi sejam setengah diselangi operasi sanitasi selama 45 minit),” jelas beliau. – MalaysiaGazette