KUALA LUMPUR – Orang ramai menyerbu cawangan baharu gedung peruncit pakaian Jepun, Uniqlo DA Square yang memulakan perniagaannya di Bandar Sri Damansara hari ini tanpa menghiraukan penjarakan sosial.

Premis terletak di Damansara Avenue itu diserbu orang ramai apabila ia mula dibuka pukul 10 pagi menyebabkan keadaan sukar dikawal.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, keadaan itu berlaku gara-gara tawaran harga istimewa kepada 500 pelanggan terawal yang menjadi punca keadaan tidak terkawal sehingga tiada penjarakan sosial.

“Sejak 8 pagi, para pelanggan mula berkumpul hadapan premis baharu itu yang buka operasi 10 pagi.

“Oleh kerana hanya 50 orang dibenarkan masuk pada satu masa mengambil kira SOP PKPB, lebih 300 orang berkumpul di luar premis tanpa mematuhi penjarakan dan mereka beratur rapat sejak pagi tadi,” katanya dalam kenyataan selepas video berkaitan tular di media sosial hari ini.

Tambah Nik Ezanee, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan pengurusan premis itu menghentikan perniagaan buat seketika bagi memberi laluan kepada proses sanitasi dan persediaan sewajarnya untuk melaksanakan pematuhan SOP Covid-19.

“Operasi diarah dihentikan sementara oleh KKM untuk proses sanitasi dan persediaan rapi untuk pelaksanaan SOP sepanjang operasi apabial dibuka semula mengelak sebarang risiko pengesanan jangkitan positif dan sebagainya.

“Bagaimanapun polis sejurus terima laporan berjaya ke lokasi dan mengawal keadaan tengahari tadi sebelum pelanggan diarahkan balik ke rumah dan kembali semula 4 petang.

“Keadaan ketika ini kembali terkawal dan tiada sebarang masalah seperti berlaku di sebelah pagi sehingga kesesakan orang ramai.

“Polis menasihati pengunjung supaya terus mematuhi SOP KKM ketika membeli belah untuk memerangi Covid-19 da sentiasa memakai pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal dan mengelak tempat sesak,” katanya. i.

Nik Ezanee berkata, anggotanya yang terlibat rondaan di lokasi memantau situasi supaya tidak di luar kawalan seperti keadaan pagi tadi.

Difahamkan bermula 18 sehingga 20 Disember, 500 pelanggan yang pertama melangkah masuk stor akan menerima goodie bag, dan setiap pelanggan yang membuat pembelian lebih RM200 atau lebih dalam satu resit akan menerima beg tote istimewa UNIQLO U.

Nik Ezanee turut memantau keadaan sepanjang hari bersama Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd Sayuthi Bakar dan meninggalkan kawasan 5.30 petang tadi.- MalaysiaGazette