PUTRAJAYA – Ketika wartawan bertanya Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd, Shairan Huzani tentang program komuniti anjuran entiti perniagaan gergasi itu, beliau kelihatan agak lambat memberikan respons seperti ada sesuatu yang difikirkan. 

Ahli korporat bertubuh kecil itu kemudian berkongsi mengenai inisiatif Shell iaitu Community Food Box dan Sudut Barangan Komuniti itu yang menurut beliau bukanlah sesuatu untuk suka-suka atau sekadar program CSR semata-mata.

Sebaliknya kata Shairan, beliau sendiri cukup terkesan dengan keadaan rakyat yang semakin terhimpit dengan kesengsaraan hidup terutamanya ketika pandemik Covid-19.

Katanya, beliau pernah bertemu dengan seorang wanita yang datang untuk mengambil barangan makanan asas secara percuma di salah sebuah stesen minyak Shell baru-baru ini. 

“Wanita ini mengambil tepung, telur kemudian satu coklat yang kemudian diingatkan oleh salah seorang pekerja Shell bahawa beliau hanya boleh mengambil keperluan asas dengan had dua barangan sahaja.

“Namun apa yang diucap oleh wanita itu kemudian membuatkan kami yang ada di situ menangis. Kata wanita itu anaknya di rumah tidak pernah dibelikan coklat langsung dan dia ingin memberikan makanan itu kepada mereka.

“Ketika itu kita terfikir, coklat kecil yang harganya tidak seberapa itu yang kita sering ambil mudah rupanya mempunyai maksud mendalam kepada segelintir lain yang hidup dalam kalangan kita.

“Untuk kita apalah sangat. Untuk mereka itulah yang mampu memberikan kegembiraan dan kelegaan, sememangnya saya tersentuh dan pilu. Ini bukan sekadar cerita sebaliknya realiti dihadapi oleh ramai di luar sana.

“Di Shell, kita harap dengan program komuniti yang kita lakukan ini sedikit sebanyak dapat memberikan senyuman serta sedikit kelegaan. Itu juga adalah sebab mengapa kami aktif dalam program seumpama ini,” katanya ketika ditemui di Shell Presint 18 di sini hari ini.

Antara barangan keperluan bagi memperkenalkan inisiatif “Community Food Box” dan “Sudut Barangan Komuniti” bagi membantu golongan kurang berkemampuan di Stesen Minyak Shell Presint 18, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 18 DISEMBER 2020.

Shell Malaysia tampil dengan program komuniti seperti Community Food Box dan Sudut Barangan Komuniti di 48 Shell terpilih seluruh negara setakat ini.

Community Food Box ini ialah  ruang yang disediakan untuk meletakkan barangan keringan seperti keperluan asas antaranya telur, gandum, tepung, sardin, bihun, mi segera dan lain-lain didermakan oleh pelanggan Shell.

Golongan memerlukan pula boleh tampil sendiri ke Shell yang menyediakan perkhidmatan dan mengambil keperluan ini secara percuma setiap minggu.

Manakala Sudut Barangan Komuniti pula penjualan barangan asas dengan harga yang paling rendah untuk meringankan bebanan segelintir.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad (kiri) diiringi Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd, Shairan Huzani Husain ketika membuat lawatan bagi memperkenalkan inisiatif “Community Food Box” dan “Sudut Barangan Komuniti” bagi membantu golongan kurang berkemampuan di Stesen Minyak Shell Presint 18, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 18 DISEMBER 2020.

Kata Shairan lagi, pihaknya berharap sekurang-kurangnya 100 buah Shell terpilih akan terlibat dengan program komuniti di penghujung tahun ini sendiri.

“Kita juga harap ramai tampil menyumbang untuk golongan memerlukan ini, anda tidak perlu membelinya dari Shell sebaliknya apa sahaja yang anda mampu boleh diletakkan di sini. Kita semua bantu antara satu sama lain,” ujarnya.

Rangkaian stesen minyak Shell turut mengambil inisiatif untuk menjual roti Gardenia dengan tawaran rendah iaitu RM1 pada setiap hari Rabu menerusi kempen ‘Wow Wednesday’ sehingga 17 Februari 2021 tertakluk pada terma dan syarat. -MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.