WUHAN – Penduduk Wuhan berharap kedatangan penyiasat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ke bandar ini tahun depan dapat membuktikan virus Covid-19 yang membunuh penduduk dunia hari ini bukan tercetus dari pasar makanan laut di bandar itu.

Pasukan penyiasat WHO dijangka melawat ke China pada Januari depan, setahun selepas jangkitan pertama virus itu dikaitkan dnegan sebuah pasar di Huanan.

”Saya mengalu-alukan kedatangan mereka. Kami juga ingin tahu bagaimana virus ini berkembang, khususnya dari mana asalnya, jika sumber virus ada di sini,” kata seorang penduduk Wuhan yang dikenali sebagai Wan.

WHO setakat ini tidak dapat mengesahkan sama ada pasukannya akan pergi ke Wuhan, dengan memaklumkan perbincangan mengenai jadual perjalanan sedang dibuat.

Pasukan WHO yang dianggotai dua orang pakar telah mengunjungi China pada bulan Julai lalu, tetapi tidak mengunjungi Wuhan.

Reuters melaporkan sebelum ini, seorang anggota WHO dan diplomat, serta 12 hingga 15 pakar antarabangsa akan mengunjungi Wuhan untuk meneliti bukti, termasuk sampel manusia dan haiwan yang dikumpulkan oleh penyelidik China untuk membangun kajian awal mereka.

Beijing telah menentang sekeras-kerasnya tuntutan penyelidikan antarabangsa mengenai asal-usul koronavirus, tetapi mengatakan pihaknya terbuka untuk penyelidikan yang dipimpin oleh WHO.

Kementerian luar China tidak secara langsung mengulas lawatan WHO semasa taklimat media harian pada hari Khamis.

“China siap sedia untuk meningkatkan kerjasama dengan WHO,” kata jurucakapnya, Wang Wenbin.

Masih banyak persoalan mengenai asal-usul Covid-19 dan peranan yang mungkin dimainkan oleh perdagangan haiwan eksotik di Wuhan.

Walaupun pihak berkuasa menutup pasar Huanan pada bulan Januari lalu, terdapat konsensus saintifik yang semakin meningkat bahawa virus itu tidak berasal dari sana.

Beberapa kajian menunjukkan wabak ini sudah merebak sebelum sampai ke pasar, dengan lebih dari satu jalur transmisi.

China masih mengehadkan akses ke lokasi seperti pasar Huanan walaupun kehidupan normal berjalan seperti biasa di Wuhan dan di seluruh China. – MalaysiaGazette