Dr Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Lima kluster baharu Covid-19 dikenalpasti manakala tiga kluster telah ditamatkan hari.

Kluster yang ditamatkan ialah Kluster Softwood (Lahad Datu, Sabah), Kluster Besi (Demak, Sarawak) dan Kluster Rajawali (Pulau Pinang).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, lima kluster baharu itu dikesan di empat buah negeri iaitu Selangor, Johor, Sabah dan Kelantan.

Katanya, lima kluster yang dikesan adalah Kluster Tapak Bina Jalan Zuhrah, Kluster Keris Residence, Kluster Jalan Timah, Kluster Brumas dan Kluster Long Panji.

“Kluster Tapak Bina Jalan Zuhrah dikesan di daerah Petaling, Selangor yang mana kes-kes bagi kluster ini telah dilaporkan positif Covid-19 semenjak 14 Disember lalu melalui saringan tempat kerja di sebuah tapak binaan.

“Sehingga hari ini, seramai 450 individu telah disaring untuk kluster ini dan 49 kes daripadanya telah dikesan positif Covid-19,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Dr. Noor Hisham, Kluster Keris Residence pula dikesan di tempat kerja daerah Kota Kinabalu dan Tuaran di Sabah iaitu kes indeks bagi kluster ini, kes ke-80664 telah dilaporkan
positif pada 12 Disember lalu melalui saringan individu bergejala.

Ujarnya, sehingga 19 Disember lalu, seramai 65 individu telah disaring yang mana 41 kes daripadanya disahkan positif Covid -19.

Tambah beliau, Kluster Jalan Timah dikesan di daerah Johor Bahru dan Kulai di Johor dan kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-90535 telah dilaporkan positif pada 18 Disember lalu melalui saringan individu bergejala manakala setakat ini seramai 238 individu telah disaring sementara 26 daripadanya positif Covid-19.

Bagi Kluster Brumas, Dr. Noor Hisham menjelaskan, ia dikesan di daerah Kalabakan, Sabah yang mana kes indeks bagi kluster berkenaan iaitu kes ke-74561 telah dilaporkan positif Covid-19 pada 8 Disember lalu hasil saringan kendiri.

Setakat ini, katanya, seramai 89 individu telah menjalani ujian saringan dan 16 daripadanya telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini.

“Kluster kelima iaitu Kluster Long Panji pula dikesan di Kota Bharu dan Machang, Kelantan yang mana kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-86605 telah dilaporkan positif Covid-19 pada 15 Disember lalu melalui saringan individu bergejala.

“Sehingga hari ini, seramai 202 individu telah disaring melibatkan kluster berkenaan manakala 11 kes daripadanya telah dikesan positif Covid-19,” ujarnya.

Sementara itu, Dr. Noor Hisham memaklumkan bahawa setakat ini terdapat sebanyak 440 kluster telah dilaporkan termasuk lima kluster baharu pada hari ini.

Jelas beliau, jumlah kluster yang telah tamat pula adalah sebanyak 241 kluster termasuk tiga kluster yang tamat pada hari ini menjadikan jumlah kluster yang masih aktif dan sedang dipantau rapi adalah sebanyak 199 kluster.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 41 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini dan tiga daripadanya merekodkan pertambahan kes baharu tertinggi iaitu Kluster Tapak Bina Jalan Stadium (167 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (96 kes), dan Kluster Tembok (80 kes),” kata beliau.-MalaysiaGazette