Jenazah ibu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Allahyarhamah Tun Rahah Mohd Noah tiba di Masjid Ar Rahah, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 19 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Jenazah Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah tiba di Masjid Ar-Rahah, Kampung Kerinchi di sini, pada 7.50 pagi ini.

Jenazah akan dimandikan dan dikafankan di masjid berkenaan sebelum orang ramai dibenarkan memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah bermula 9 pagi hingga 1 tengah hari ini.

Keadaan di masjid berkenaan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada masa ini.

Turut kelihatan di masjid tersebut ialah anak Alllahyarhamah, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Perdana Menteri keenam

Selepas urusan penghormatan terakhir itu, jenazah Allahyarhamah Tun Rahah akan dibawa ke Masjid Negara bagi Istiadat Pengebumian Negara.

Jenazah akan dikebumikan di Lingkaran Makam Pahlawan, Masjid Negara.

Tun Rahah, 87, sebelum ini dimasukkan ke Pusat Perubatan Prince Court untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia petang semalam.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast