Telefon bimbit yang dirampas dalam Op Dadu bagi membanteras judi online di Jalan Conlay dekat ibu negara, awal oagi tadi

KUALA LUMPUR – Polis menahan 16 individu kerana dipercayai terbabit dengan aktiviti judi online dalam dua serbuan berasingan di Jalan Conlay dekat ibu negara awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner, Mohamad Zainal Abdullah berkata, dalam serbuan menerusi Op Dadu yang pertama pukul 2 pagi itu, pihaknya menahan enam lelaki terdiri daripada seorang warga tempatan dan lima lagi warganegara China berusia lingkungan 21 hingga 33 tahun.

Katanya, polis merampas sebanyak 94 unit telefon bimbit pelbagai jenama dan unit komputer riba pelbagai jenama dipercayai digunakan bagi tujuan judi online.

” Tahanan reman ke atas warga tempatan adalah selama dua hari bermula hari ini esok, manakala tahanan reman ke atas warganegara China adalah selama empat hari bermula hari ini hingga 23 Disember 2020.

“Siasatan dijalankan di bawah peruntukan undang-undang dimana tangkapan warga tempatan diambil tindakan di bawah Seksyen 4 (1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 [Akta 289].

“Tangkapan ke atas warganegara asing pula diambil tindakan di bawah Seksyen 4 (1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 [Akta 289] dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155],” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Zainal berkata, pihaknya menahan pula lima lagi warga China berusia 21 hingga 34 tahun dalam serbuan kedua dan merampas sebanyak 96 unit telefon bimbit pelbagai jenama dan dua unit komputer riba pelbagai jenama.

Katanya, kesemua mereka direman selama empat bermula hari ini dan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 4 (1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 [Akta 289] dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155].

Pihaknya memohon kerjasama daripada orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkenaan aktiviti judi online di kawasan sekitar daerah Dang Wangi.

Tambahnya, mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette