Bangunan Bursa Malaysia di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka mengalami prestasi tidak banyak berubah namun berada pada kecenderungan meningkat untuk mencatatkan dagangan di antara 1,640 dengan 1,660 mata minggu depan.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, menjelang minggu depan, aktiviti dagangan mungkin berkurangan terutama menjelangnya cuti umum sempena perayaan Krismas pada Jumaat.

Beliau berkata, pelabur akan meneliti data inflasi Malaysia bagi November yang akan dikeluarkan Rabu depan untuk menentukan hala tuju pasaran.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Inter-Pacific Asset Management Sdn Bhd Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata Bursa Malaysia sedang mengalami prestasi kukuh yang tidak banyak berubah dan dijangka meningkat semula pada pertengahan minggu depan selepas melalui pengukuhan teknikal.

“Sentimen yang menyelubungi pasaran tetap positif dengan Wall Street secara mengejut berada pada paras tertinggi sepanjang masa didorong pakej rangsangan bernilai US$900 tidak lama lagi, Rizab Persekutuan Amerika Syarikat mengekalkan kadar faedah rendah untuk tempoh lebih lama serta pengenalan vaksin COVID-19,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata di peringkat tempatan pula, ‘kebisingan’ politik reda selepas Belanjawan 2021 diluluskan, ditambah dengan harga komoditi yang lebih tinggi seperti minyak mentah dan minyak sawit mentah.

“Ini akan membantu meningkatkan keyakinan terhadap pasaran saham kita dalam keadaan syarikat-syarikat melakukan aktiviti memperelokkan akaun akhir tahun,” katanya.

Beliau berkata saham berkaitan infrastruktur, bank, pembinaan, hartanah dan telekomunikasi diunjurkan terus menjadi pilihan utama pelabur semasa baki tempoh dagangan tahun ini.

Bagi minggu yang baru berakhir, Bursa Malaysia mengalami prestasi rendah pada Isnin namun meningkat semula pada Selasa dan Rabu selepas Belanjawan 2021 diluluskan setelah bacaan ketiga di Parlimen.

Bagaimanapun, prestasi baik itu kemudiannya mendorong pengambilan untung dan pembetulan teknikal pada Khamis dan Jumaat namun sektor kewangan dan pengeluar sarung tangan masih mengalami dagangan aktif untuk menentukan pergerakan pasaran.

Secara keseluruhan, FBM KLCI merosot 32.09 mata kepada 1,652.49 daripada 1,684.58 yang dicatatkan pada minggu lepas.

Di papan skor, Indeks FBM Emas susut 195.22 mata kepada 11,890.49, Indeks FBMT 100 menguncup 198.69 mata kepada 11,650.05, FBM 70 turun 151.41 mata kepada 15,218.60, Indeks FBM ACE merosot 623.45 mata kepada 10,447.65 dan Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 97.06 mata kepada 13,334.47.

Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan jatuh 621.13 mata kepada 15,425.0, Indeks Perladangan turun 62.29 mata kepada 7,349.80 dan Indeks Barangan dan Perkhidmatan Industri kurang 1.98 mata kepada 175.69.

Indeks Tenaga turun 40.27 mata kepada 908.05, Indeks Penjagaan Kesihatan susut 120.18 mata kepada 3,702.31, sementara Indeks Teknologi naik 1.47 mata kepada 67.87.

Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 50.37 bilion unit bernilai RM26.15 bilion daripada 57.76 bilion unit bernilai RM31.32 bilion pada minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 32.40 bilion saham bernilai RM22.03 bilion daripada 35.93 bilion saham bernilai RM25.03 bilion.

Jumlah dagangan waran sebanyak 4.97 bilion unit bernilai RM804.71 juta berbanding 4.74 bilion unit bernilai RM821.83 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE pula turun kepada 13.04 bilion saham bernilai RM3.31 bilion daripada 17.08 bilion saham bernilai RM5.45 bilion minggu lepas. – MalaysiaGazette