Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed bercakap pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 21 OKTOBER 2020.

KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan aktiviti mengeksploitasi pekerja warga asing tanpa dibayar gaji menerusi lima serbuan di daerah Melaka Tengah baru-baru ini.

Seramai 32 wanita warga Indonesia dan dua lagi warga Kemboja berusia lingkungan 18 hingga 40 tahun berjaya diselamatkan dalam serbuan oleh Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (D3), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

Pengarah JSJ, Bukit Aman, Komisioner Datuk Huzir Mohamed berkata, dua lagi wanita warga Indonesia berjaya diselamatkan di Petaling Jaya, Selangor.

Katanya, kesemua yang diselamatkan mengaku bekerja sebagai tukang cuci yang menjalankan khidmat cucian dari rumah ke rumah sekitar Melaka.

“Mangsa juga mengaku bekerja dengan agensi terbabit sejak 2018 sehingga kini dengan gaji yang ditawarkan berjumlah RM900 hingga RM1,200 sebulan.

“Bagaimanapun, kesemua mangsa didapati tidak mendapat gaji seperti yang dijanjikan. Malah, mereka telah dikurung di dalam rumah dan pergerakan mereka turut dikawal serta tidak dibenarkan menggunakan telefon bimbit,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Huzir berkata, pihaknya turut menahan tiga wanita warga tempatan berusia 33 hingga 42 tahun dan seorang lelaki berusia lingkungan 40an semasa serbuan dijalankan dan mereka dipercayai majikan kepada semua mangsa.

Tambahnya, kertas siasatan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara pada 16 Disember lepas dan Timbalan Pendakwaraya telah bersetuju untuk menuduh tiga perempuan warga tempatan yang ditangkap dalam kes itu dengan 35 pertuduhan di bawah Seksyen 12 ATIPSOM 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan katanya, mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Manakala, majikan lelaki terbabit dituduh di bawah Seksyen 12 ATIPSOM 2007 yang dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksanaan dengan 70 pertuduhan yang kenakan terhadapnya.

Katanya lagi, kesemua mereka yang terlibat akan dituduh di Mahkamah Sesyen Melaka Tengah, esok.

Huzir mengingatkan agar masyarakat tidak sesekali cuba melakukan eksploitasi bagi tujuan mendapatkan keuntungan kerana tindakan tegas boleh diambil terhadap mereka mengikut jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran.

Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat berkenaan pemerdagangan orang dan penyeludupan migran di Bahagian D3 (Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan migran) JSJ Bukit Aman di talian hotline 03-26101510 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette