Barisan pesawat Max 737 di kawasan kemudahan Boeing di Lapangan Terbang Antarabangsa Grant County, dekat Moses Lake, Washington. foto Agensi

LONDON – Agensi Keselamatan Penerbangan Eropah (EASA) yakin pesawat Boeing 737 Max kini selamat untuk terbang.

Pengarah Eksekutifnya, Patrick Ky berkata, pihaknya telah mengatasi masalah pesawat berkenaan selepas melakukan kajian semula dan analisis perubahan reka bentuk.

Pesawat itu dihentikan operasinya pada bulan Mac 2019 selepas berlaku dua nahas udara yang mengorbankan 346 orang penumpang.

Kemalangan pertama membabitkan pesawat Lion Air yang terhempas di perairan Indonesia pada Oktober 2018.

Manakala tragedi kedua pula melibatkan Ethiopian Airlines yang terhempas sejurus selepas berlepas di landasan Addis Ababa, hanya empat bulan selepas nahas pertama.

Kedua-dua tragedi itu berpunca daripada masalah perisian kawalan pesawat – yang aktif pada masa yang salah hingga mendorong pesawat meluncur ke bawah.

Menurutnya, pihaknya telah bersetuju untuk memulakan operasi pesawat berkenaan di Amerika Syarikat (AS) dan Brazil.

EASA berharap dapat memberikan kebenaran untuk kembali beroperasi di Eropah pada pertengahan Januari.

Sejak kemalangan Ethiopia, EASA telah melakukan kajian semula mengenai reka bentuk 737 Max, secara bebas dari proses sama yang dilakukan oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) AS.

Kajian itu, kata Ky, melangkaui punca kedua-dua kemalangan dan modifikasi yang dicadangkan oleh Boeing.

“Kami melangkah lebih jauh dan meninjau semua kawalan penerbangan, semua jentera pesawat,” jelasnya.

Tujuannya, katanya, adalah melihat apa sahaja yang boleh menyebabkan kegagalan kritikal.

Untuk kembali beroperasi, pesawat yang ada sekarang harus dilengkapi dengan perisian komputer baharu serta melakukan perubahan pada instrumen pendawaian dan kokpit.

Juruterbang perlu menjalani latihan wajib dan setiap pesawat harus menjalani penerbangan ujian untuk memastikan perubahan telah dilakukan dengan betul.

FAA juga telah menetapkan syarat yang serupa.

“Kami sangat yakin pesawat berada dalam keadaan sangat selamat,” katanya.

Sebilangan besar kerja-kerja pensijilan keselamatan awal pada 737 Max dilakukan oleh FAA dan hanya disahkan oleh EASA berdasarkan syarat-syarat perjanjian antarabangsa yang telah lama wujud.

Mengulas kritikan hebat terhadap FAA kerana membiarkan pesawat yang kelihatan cacat dalam perkhidmatan, Ky berkata, pada masa depan, perkara akan dilakukan secara berbeza.

“Yang pasti ada pelajaran yang dapat dipelajari dari ini, yang akan mencetuskan tindakan baharu dari pihak kami”, jelasnya.

Walaupun EASA bukan pihak berkuasa utama yang menjalankan kerja keselamatan, ia akan memeriksa keputusan orang lain dengan lebih teliti.

“Kami akan melakukan penilaian keselamatan kami sendiri, yang akan jauh lebih komprehensif daripada sebelumnya”, katanya. – MalaysiaGazette