Larry Sng Wei Shien

KUALA LUMPUR – Larry Sng mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sarawak berkuatkuasa serta merta.

Ahli Parlimen Julau itu memberi alasan bahawa parti itu harus dipimpin oleh seorang pemimpin Dayak bagi mendepani cabaran pilihan raya Negeri yang akan diadakan tahun depan.

“Setelah membuat pertimbangan lebih mendalam, saya membuat keputusan demi kepentingan terbaik PKR Sarawak.

“Parti ini mesti dipimpin oleh seorang pemimpin Dayak dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak pada 2021.

“Majoriti rakyat Sarawak adalah terdiri daripada suku Dayak 43 peratus daripada keseluruhan populasi di negeri Sarawak, manakala orang Melayu dan Cina hanya 24 peratus.

“Akan tetapi, kami mendapati kawasan termiskin dan paling mundur di Sarawak terletak di kawasan pedalaman Dayak.

“Suku kaum Dayak juga kurang diwakili di peringkat kepimpinan tertinggi dalam kerajaan dan parti pembangkang,” katanya dalam kenyataan rasmi yang dimuat naik dalam Facebook rasminya hari ini.

Tambah beliau, Presiden atau Pengerusi PBB, PDP, SUPP, PKR, DAP, PSB, PBK, Amanah, sama ada orang Melayu atau Cina, parti mereka banyak disokong oleh orang Dayak.

Sng juga percaya dengan membuat perubahan dalam kepimpinan PKR Sarawak ini akan meningkat dan mengangkatkan kredibiliti parti dalam memperjuangkan dan memerangi ketidaksamarataan ekonomi dalam sektor swasta, dalam pemilihan dan penawaran dalam sektor perkhidmatan awam serta tekad dan keazaman dalam mengenalpasti dan menangani isu tanah adat kaum asli.

“Walaupun saya terpilih di kerusi Parlimen didominasi Dayak yang mempunyai pengalaman dalam pentadbiran negeri,, saya yakin parti itu akan dapat mencari pengganti terbaik mengisi kekosongan saya.

“Kita tidak seharusnya mengambil tidakan pembelotan bekas anggota Parlimen dari Puncak Borneo, Saratok, Lubok Antu dan Selangau sebagai krisis kepimpinan Dayak di PKR Sarawak.

“Agak sedih untuk mengatakan bahawa sekiranya mereka tetap bersama PKR Sarawak, Pakatan Harapan masih akan kekal berkuasa pada hari ini.

“Dosa yang dilakukan segelintir pihak tidak harus diletakkan ke atas banyak pihak dan saya yakin rakyat akan memilih PKR Sarawak semula untuk mewakili mereka di kawasan-kawasan yang telah kita tewas sebelum ini,” ujar beliau lagi.

Sng juga memaklumkan bahawa beliau akan mengadakan perbincangan dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim dalam masa beberapa hari lagi untuk memastikan peralihan kuasa mencari penggantinya berjalan lancar tanpa masalah.

Sng pertama kali bertanding di bawah tiket Parti Bangsa Dayak Sarawak (PBDP) pada pilihan raya negeri 2001, ketika menggantikan bapanya sebagai wakil rakyat DUN Pelagus.

Dia berkhidmat dua penggal sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri BN untuk Pelagus dari 2001 hingga 2011 dan dilantik sebagai pembantu menteri di bawah pentadbiran Ketua Menteri Abdul Taib Mahmud pada tahun 2004.

Dia kemudian mewakili Parti Rakyat Sarawak dan Parti Pekerja Sarawak sebelum menyertai PKR selepas menang parlimen Julau sebagai calon bebas pada PRU 2018.

Dia dilantik sebagai pengerusi PKR Sarawak pada Mac ini.-MalaysiaGazette