Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melanjutkan pengecualian fi pembaharuan lesen dan lesen-lesen tambahan bagi pemohon di kalangan pengusaha pelancongan bermula 1 Januari sehingga 30 Jun 2021.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pengecualian tersebut juga terpakai kepada pemandu pelancong untuk tempoh yang sama.

Jelasnya, inisiatif ini bagi membantu penggiat industri pelancongan yang terkesan akibat
penularan Covid-19.

“MOTAC berharap pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong mengambil peluang untuk membuat permohonan pembaharuan dalam tempoh yang ditetapkan mengikut tarikh tamat lesen masing-masing bagi memastikan pengecualian ini dapat dinikmati,” katanya menerusi kenyataan.

MOTAC menyeru semua pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong yang terlibat untuk membuat pembaharuan lesen dalam tempoh yang ditetapkan bagi memastikan pematuhan kepada perundangan sedia ada.

Sebelum ini, MOTAC melaksanakan pengecualian fi ini untuk tempoh 17 Mac sehingga 31 Disember 2020 sahaja.

Inisiatif Pelanjutan Pengecualian Fi ini layak untuk semua pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong yang berlesen di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482] dan Peraturan-Peraturannya yang dikuatkuasakan oleh MOTAC dalam melesenkan Pengusaha-Pengusaha Pelancongan di bawah Seksyen 5 dan Pemandu Pelancong di bawah Seksyen 21. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast