Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang penjenayah yang cuba menyamun menggunakan parang terpaksa berputih mata, bukan sahaja tidak dapat menikmati wang yang mahu dirompak tetapi dia juga ditangkap oleh mangsanya.

Kejadian itu berlaku di Jalan Metro Perdana Barat 2, berhampiran Bank Standard Chartered di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, dalam kejadian pukul 11.15 pagi itu, mangsa warga Bangladesh berusia 36 tahun telah ditahan oleh suspek warga tempatan berumur 34 tahun yang bersenjatakan sebilah parang berukuran 40 sentimeter.

Katanya, suspek telah mengacukan senjatanya ke leher mangsa dan meminta wang tunai berjumlah RM15,000 milik syarikat yang dibawa bersamanya.

“Suspek cuba untuk melarikan diri ke arah rakannya yang sedang menunggu di atas motosikal.

“Namun, percubaan suspek untuk melarikan diri bersama wang tunai tidak berjaya kerana telah ditahan oleh mangsa dengan bantuan pengawal keselamatan peribadi,” katanya dalam kenyataan di sini.

Bagaimanapun, rakan suspek berjaya melarikan diri.

Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Eng Lai berkata, suspek telah diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut dan semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

Suspek direman selama tujuh hari dan akan dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur esok di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, ujarnya.

Tambah beliau, polis kini sedang menjejak rakan suspek yang masih bebas selepas berjaya melarikan diri pada masa kejadian.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes tersebut supaya menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-4048 2206 bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu Eng Lai turut menasihati orang ramai supaya berhati-hati dan sentiasa berwaspada terutamanya ketika membuat urusan melibatkan wang tunai.

Mereka dinasihatkan agar tidak membawa wang yang banyak bagi mengelakkan diri daripada menjadi sasaran penjenayah. – MalaysiaGazette