Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pusat Koreksional Jasin dan Kuarters Kakitangan bermula esok hingga 4 Januari tahun depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD itu akan melibatkan 771 orang yang terdiri daripada 603 tahanan dan 168 kakitangan serta ahli keluarga.

Tambah beliau, Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPD di pusat tahanan tersebut sama seperti yang diumumkan sebelum ini termasuk tiada pergerakan keluar masuk dan lawatan oleh ahli
keluarga.

Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu, seramai 238 individu dikompaun manakala seorang dikenakan reman kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut beliau, antara kesalahan ingkar arahan PKP yang dilakukan mereka termasuk gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal, gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan, tidak memakai pelitup muka, aktiviti pusat hiburan dan lain-lain.

“Semalam, PDRM telah menahan 239 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP.

“Sebanyak 2,683 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 11,816 anggota telah membuat pemantauan di 3,420 pasar raya, 4,569 restoran serta 2,013 penjaja, 1,153 kilang, 3,066 bank dan 450 pejabat kerajaan.

“Juga dipantau, sebanyak 937 terminal pengangkutan darat, 235 terminal pengangkutan air serta 63 terminal pengangkutan udara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri memberitahu, seramai 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya dicekup menerusi Ops Benteng yang dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM).

Katanya, turut dirampas dalam operasi itu tiga buah kenderaan darat yang digunakan untuk membawa PATI terbabit. – MalaysiaGazette