Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hadir bagi mendengar keputusan dalam pertuduhan rasuah RM2 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta selepas didapati bersalah terhadap pertuduhan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini, memerintahkan bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu dijatuhi hukuman penjara enam bulan sebagai tambahan seandainya tertuduh tidak membayar wang denda itu.

Tengku Adnan atau lebih dikenali sebagai KuNan kelihatan tenang, tunduk dan sesekali mengangkat mukanya sejurus mendengar hukuman dijatuhkan terhadap beliau.

Bagaimanapun Mohamed Zaini membenarkan permohonan pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan dalam masa terdekat.

Tengku Adnan, atau lebih dikenali sebagai Ku Nan, didakwa dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan, telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Tan Sri Chai Kin Kong yang juga Pengarah AKSB.

Wang itu diterima melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang telah didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik THSB yang beliau mempunyai kepentingan dan diketahui syarikat AKSB ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Ahli Parlimen Putrajaya berkenaan didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara di sini pada 14 Jun 2016 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim manakala peguam Datuk Tan Hock Chuan mengetuai pasukan pembelaan. – alaysiaGazette

2 Komen

  1. Bagaimana pula dengan PEMBERI RASUAH? Lepas bebas aka tidak bersalah dari segi undang2 atau sudah lari kenegeri safe haven buat penjenayah macam Jolo?

Comments are closed.