KUALA LUMPUR – Kempen ‘My30 Plus30 – Beli 1, Percuma 1’ untuk mempromosikan pas perjalanan tanpa had My30 bagi rangkaian pengangkutan awam Rapid KL mendapat respons memberangsangkan apabila 1,400 orang mendaftar pada jualan pertama semalam.

Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) berkata, tawaran kepada 8,333 pengguna sahaja dan berdasarkan siapa dulu dia dapat.

Oleh itu, Rapid KL menasihati para pelanggan untuk tidak berlengah dan segera mengambil peluang daripada promosi ini.

Promosi berkenaan akan berlangsung sehingga 31 Mac 2021, yang mana satu baucar pas percuma My30 akan diberikan untuk setiap pembelian.

Pas percuma My30 ini boleh digunakan sendiri untuk pembaharuan pada bulan berikutnya.

Kempen ‘My30 Plus30 – Beli 1, Percuma 1’ ini adalah antara inisiatif yang diumumkan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri pada 23 November lepas sebagai pelan pemulihan pelancongan domestik yang bakal diterajui oleh Lembaga Penggalakkan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia).

Di bawah inisiatif itu, agensi berkenaan akan bekerjasama erat bersama para pemain industri seperti operator pengangkutan awam darat, syarikat penerbangan dan badan-badan bukan kerajaan dalam industri pelancongan di samping penggiat-pengiat industri pelancongan seni.

Ditawarkan eksklusif untuk warga negara Malaysia, pas perjalanan tanpa had My30 membolehkan penumpang untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam rel dan bas Rapid KL berulang kali tanpa had untuk 30 hari di Lembah Klang dan Selangor dengan hanya berbelanja RM30.

Pembelian pas-pas ini boleh dibeli di semua kaunter-kaunter khidmat pelanggan di stesen-stesen LRT, MRT, monorel dan BRT di samping lapan hab bas terpilih – Pasar Seni, KLCC, Seksyen 2 Shah Alam, Greenwood, Sri Nilam, Sunway Pyramid, Pearl Point dan Puchong Utama. Urusan penebusan, bagaimanapun, hanya boleh dibuat di dua lokasi iaitu di Sayap Timur stesen KL Sentral dan di Hab Bas Pasar Seni.- MalaysiaGazette