Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 2,062 kes positif baharu Covid-19 direkodkan pada hari ini manakala bilangan kes sembuh adalah sebanyak 911 kes.

Berikutan itu jumlah keseluruhan kes positif meningkat kepada 97,389 kes jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 adalah sebanyak 79,304 kes atau 81.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 ialah 17,646 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes baharu berkenaan, empat kes adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Kata beliau, Selangor kekal melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,014 kes (49.2 peratus).

“Daripada jumlah itu, sebanyak 887 kes atau 87.5 peratus adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontrak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 504 kes (24.4 peratus) dan Sabah sebanyak 252 kes (12.2 peratus).

“Sebanyak 120 kes (5.8 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara dan depot tahanan imigresen yang membabitkan Kluster Tembok Gajah (88 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (24 kes), Kluster Penjara Sandakan (tiga kes), Kluster Penjara Seberang Perai (tiga kes) dan Kluster Tembok (dua kes),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehingga kini, ujar beliau, terdapat 111 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU),yang mana 51 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau turut memaklumkan terdapat pertambahan satu kes kematian Covid-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian meningkat kepada 439 kes atau 0.45 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Kematian ke 439 adalah merupakan kes ke-41063 melibatkan seorang lelaki warga asing berusia 69 tahun dari Wilayah Persekutuan Labuan meninggal dunia akibat Covid-19 dan jenazah telah dibawa ke Hospital Labuan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, mangsa mempunyai latar belakang penyakit strok. – MalaysiaGazette