Najib Razak

KUALA LUMPUR – Kerajaan sepatutnya mengekalkan tempoh kuarantin selama 14 hari kepada semua pengembara yang pulang dari luar negara.

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, perbezaan empat hari yang dikurangkan bagi pengembara dari luar negara yang mampu menanggung kos kuarantin, tidak memberikan kesan kepada ekonomi negara.

“Pada saya, beza empat hari saja bagi pelawat dari Eropah yang mampu menampung kos kuarantin tidak memberi kesan ekonomi yang signifikan bagi negara tetapi ianya lebih selamat kerana kerajaan pernah beritahu kita bulan lepas bahawa 7 peratus kes positif Covid hanya dikesan pada hari ke-13 kuarantin,” katanya di sini.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan penularan mutasi Covid-19 yang baharu di United Kingdom (UK) yang memaksa negara berkenaan melaksanakan perintah duduk di rumah, perlu dijadikan garis panduan buat Malaysia.

Kementerian Kesihatan semalam memaklumkan akan memantau keadaan di United Kingdom tetapi tidak melarang pengunjung dari sana dan tempoh kuarantin kekal 10 hari.

Selain Hong Kong, negara-negara lain seperti India, Kanada, Switzerland, Sweden, Turki, Arab Saudi, Iran, Perancis, Jerman, Ireland, Itali, Austria, Romania, Belanda dan Belgium telah melarang pelawat dari UK sejak semalam ekoran penularan mutasi baharu Covid-19 yang merebak dengan kadar 70 peratus lebih cepat.

Najib percaya rakyat sudah tentu bimbang dengan penularan Covid-19 di UK.

“Pandangan saya ialah kerajaan bukan sahaja perlu sentiasa memastikan warga Malaysia selamat tetapi juga perlu memastikan warga sentiasa rasa selamat supaya rakyat yakin kerajaan sedang menjaga mereka.

Dalam keadaan ini, yang mana banyak negara sudah bertindak dan berita virus mutasi di UK sedang hangat, Najib percaya ramai rakyat risau dan mahu kerajaan buat sesuatu selain memantau.

Baru-baru ini Perdana Menteri UK, Boris Johnson mengumumkan perintah duduk di rumah di London dan tenggara England bermula pada Ahad bagi memperlahankan penularan wabak itu yang didakwa lebih mudah berjangkit.

Untuk rekod, bermula 14 Disember yang lalu, tempoh kuarantin pengembara yang pulang dari luar negara dan pengurusan kontak rapat di negara ini dikurangkan tempohnya daripada 14 kepada 10 hari.-MalaysiaGazette