Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Apartment Amber Court dan Apartment Ria di daerah Bentong, Pahang akan dilanjutkan bermula 24 Disember hingga 6 Januari 2021.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun PKPD bagi lokaliti rumah kongsi Kampung Semaut di daerah sama akan ditamatkan esok.

“Bagi Apartment Amber Court, Kementerian Kesihatan (KKM) telah melaksanakan 1,183 ujian saringan, dengan sebanyak 381 kes positif COVID-19 telah direkodkan dan 85 masih menunggu keputusan.

“KKM juga telah melaksanakan 1,041 ujian saringan di Apartment Ria dan mengesahkan terdapat risiko jangkitan baharu yang dikesan manakala terdapat kontak rapat kepada kes positif yang perlu dijalankan ujian saringan,” katanya pada sidang media perkembangan berkaitan PKP Pemulihan (PKPP) hari ini.

Beliau berkata, ujian saringan yang dijalankan ke atas semua penduduk di rumah kongsi Kampung Semaut pula mendapati hanya tiga orang sahaja yang bergejala dan ujian RTK antigen yang dijalankan semula ke atas mereka didapati negatif. – Bernama