Razali Abu Samah.

SERDANG – Sebuah syarikat dikesan menjalankan kegiatan memproses pokok karas secara haram dengan berselindung disebalik aktiviti pemprosesan cuka kayu getah sejak 2018.

Kegiatan itu terbongkar selepas sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang bersama Pegawai Hutan Daerah Selangor Tengah, Khairul Nizam Mohamed melakukan serbuan di tiga premis di Jalan PUJ 8/7, Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, di sini pada pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, polis menerima empat laporan awam daripada penduduk setempat mengenai kegiatan haram itu pada hujung Oktober lalu.

“Bertindak atas laporan itu, pasukan kami membuat risikan di kawasan Hutan Simpan Ayer Hitam, Puchong selama tiga minggu bermula awal Oktober lalu malangnya tiada sebarang kegiatan mencurigakan berlaku di dalam kawasan hutan itu.

“Seterusnya kami melakukan pengintipan di kawasan premis berkenaan selama lebih seminggu bertindak atas maklumat penduduk setempat yang terhidu bau kayu selain curiga dengan aktiviti di premis ini,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan petang ini.

Menurut Razali, hasil serbuan itu, polis merampas 10 batang pokok kayu karas, 16 guni habuk dengan setiap guni mengandungi 100 kilogram (kg) habuk, 37 botol cecair cuka kayu getah dan 10 kulit kayu gaharu.

Tambah beliau, barang rampasan itu dianggarkan bernilai lebih RM2 juta, tidak termasuk nilai peralatan digunakan bagi memproses hasil hutan itu.

Menerusi serbuan sama, katanya, dua lelaki tempatan yang juga penjaga serta sepasang suami isteri warga asing yang bekerja di premis berkenaan selain pemilik premis berusia antara 30 hingga 58 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati syarikat itu hanya memiliki pendaftaran dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi perniagaan cuka kayu getah.

“Bagi setiap kayu karas yang diperolehi, mereka perlu mempunyai kebenaran bagi membawa keluar hasil hutan berkenaan, tetapi semakan polis terhadap pemilik premis berusia 58 tahun itu mendapati dia gagal mempamerkan dokumen kebenaran untuk kegiatan itu,” ujarnya.

Razali berkata, modus operandi syarikat itu adalah membawa kayu karas yang didakwa diperoleh dari Pahang ke dua premis berkenaan untuk diproses oleh pasangan suami isteri warga asing ini dengan bayaran gaji antara RM1,400 hingga RM1,600 sebulan.

Jelasnya, hasil hutan itu dihasilkan menjadi tiga produk kegunaan awam iaitu minyak gaharu, arca serta colok.

“Difahamkan minyak gaharu dihasilkan akan dieksport ke luar negara pada kadar antara RM300,000 hingga RM500,000.

“Bagi pokok karas yang tidak dapat menghasilkan minyak pula dijadikan sebagai arca dengan dijual mengikut tawaran harga pasaran,” ujarnya.

Razali berkata, habuk daripada proses berkenaan pula dimampat sebelum dijadikan colok selain suspek turut mengasingkan kulit pokok berkenaan untuk dijual.

Katanya, polis masih sedang menyiasat dari mana syarikat itu memperoleh bekalan pokok dan ke mana produk yang dihasilkan dipasarkan.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 84(1) Akta Perhutanan Negara 1984. – MalaysiaGazette