IMBAS. Tempat duduk Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (tengah) kini diambialih oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri) bersebelahan kerusi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

KUALA LUMPUR – Ekonomi negara dijangka dapat dipulihkan segera dengan adanya Perjanjian Perkongsian Komprehensif Ekonomi Serantau (RCEP).

Menteri Kanan Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, RCEP merupakan satu usaha negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dalam mengukuhkan integrasi ekonomi dan meningkatkan fasilitasi perdagangan intra-ASEAN.

“RCEP merupakan keseragaman FTA ASEAN+1 sedia ada yang melibatkan Jepun, Korea, China, Australia dan New Zealand, ke dalam satu perjanjian yang menyeluruh dan lengkap bertujuan meningkatkan lagi perdagangan dan pelaburan antara negara-negara peserta.

“Perjanjian RCEP merupakan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang terbesar pernah ditandatangani Malaysia yang melibatkan 15 negara, merangkumi 2.2 bilion atau hampir sepertiga (29.7%) penduduk dunia dan menyumbang sebanyak US$24.8 trilion atau hampir sepertiga (28.9%) KDNK dunia berdasarkan data Bank Dunia pada tahun 2018,” jawab Azmin.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk T Mohan yang bertanya sejauh manakah penyertaaan Malaysia dalam RCEP dapat membantu dalam proses pemulihan Malaysia daripada impak Covid-19.

Jelas Azmin lagi, berdasarkan laporan Peterson Institute for International Economics yang dikeluarkan pada bulan Jun 2020, RCEP dijangka menyumbang secara positif kepada ekonomi Malaysia.

Unjuran awal oleh MIDF katanya, menunjukkan negara akan memperolehi peningkatan KDNK sebanyak RM16 bilion setahun setelah RCEP berkuatkuasa.

“RCEP berupaya membantu pihak industri tempatan mempertingkatkan akses barangan atau produk tempatan ke pasaran negara-negara peserta RCEP dengan menikmati preferential treatment melalui penghapusan dan pengurangan tarif secara progresif.

“Selain daripada tarif, pengurangan halangan bukan tarif atau non-tariff measures (NTMs) yang merupakan salah satu cabaran utama dalam menembusi pasaran antarabangsa juga merupakan manfaat utama penyertaan Malaysia dalam RCEP.

”Ini boleh dicapai menerusi penyelarasan tatacara import dan eksport, pengiktirafan secara timbal balas dan penerimaan standard industri dan teknikal negara masing-masing serta perkongsian maklumat,” kata Azmin lagi.

Justeru itu katanya, perjanjian RCEP dijangka dapat menyegerakan proses pemulihan ekonomi serantau dan negara kita pasca Covid-19 menerusi 4 pembukaan pasaran, pertambahan pelaburan, peningkatan fasilitasi perdagangan dan integrasi industri khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ke dalam rantaian nilai serantau. – MalaysiaGazette