Kerajaan didesak segera memberikan moratorium secara automatik kepada rakyat negara ini sebagaimana yang diberikan pada pelaksanaan PKP 1.0 dahulu.

PIHAK-pihak berkaitan dalam negara boleh memberi pertimbangan bagi mewujudkan sebuah agensi baru yang tidak terletak di bawah mana-mana agensi kerajaan bagi menguruskan proses pendaftaran parti- parti politik dalam negara kita. Ini susulan tindakan yang diambil oleh parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang ditubuhkan oleh Ahli Parlimen Muar, YB Syed Saddiq Syed Abdul yang ingin mempertimbangkan tindakan undang- undang diambil terhadap pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) kerana kelewatan mereka melakukan proses kelulusan pendaftaran parti Muda berkenaan yang telah ditubuhkan pada bulan September yang lalu. Parti politik Muda yang dibuka untuk semua kaum dan agama ini akan menjadi tambahan kepada parti-parti politik sedia ada.

Apa yang menariknya, parti politik yang diasaskan oleh Syed Saddiq ini merupakan sebuah parti politik pertama dalam sejarah negara kita yang bakal memberi banyak tumpuan kepada nasib golongan belia. Walaupun tumpuan parti politik baru ini banyak diberikan terhadap nasib golongan belia, parti politik baru ini juga dilihat memberi fokus perjuangannya untuk membantu semua lapisan masyarakat dalam Malaysia tanpa mengira had usia mereka.

Proses pendaftaran parti Muda sebagai sebuah parti politik yang sah dalam negara kita telah mula dibuat sejak 17 September 2020. Namun sehingga 21 Disember 2020, parti berkenaan masih belum menerima apa-apa perkembangan terkini berkenaan dengan proses pendaftaran parti mereka. Akibat daripada ini, pada 21 Disember 2020, penaja parti Muda bersama 100 penyokong parti Muda telah hadir ke JPPM sendiri untuk menyerahkan surat peguam untuk menuntut pendaftaran parti Muda sebagai sebuah parti politik yang sah diluluskan dengan kadar yang segera. JPPM adalah sebuah Jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengendalikan pertubuhan- pertubuhan bukan kerajaan dan parti politik dalam negara.

Di bawah Seksyen 2, Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335], sesebuah pertubuhan adalah didefinisikan sebagai mana-mana kelab, perkongsian atau persatuan yang mengandungi tujuh orang atau lebih, tidak kira apa jua jenis atau tujuannya, sama ada sementara atau kekal tetapi tidak termasuk badan- badan yang perlu didaftarkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis seperti syarikat, koperasi, kesatuan sekerja, persatuan ibu bapa dan guru, badan-badan sukan dan lain- lain.

Persoalan harus dilontarkan sama ada sesuai untuk sebuah agensi kerajaan menentukan pendaftaran sesebuah parti politik dalam negara kita? Tidak seperti penubuhan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan penubuhan pertubuhan bukan politik, penubuhan sesebuah parti politik selalunya banyak melibatkan perkara sensitif kerana ia melibatkan banyak isu berkaitan dengan politik. Bagi mengelakkan salah faham ataupun konflik berlaku, sebuah agensi baru perlu diberi pertimbangan untuk ditubuhkan khususnya bagi
menguruskan proses pendaftaran serta memantau perjalanan parti-parti politik dalam negara kita. Pihak JPPM sedia ada masih boleh terus menguruskan proses pendaftaran serta memantau perjalanan persatuan atau pertubuhan badan- badan bukan kerajaan (NGO) atau sebarang jenis persatuan atau pertubuhan yang tidak memiliki sebarang unsur politik.

Pihak-pihak yang berkaitan dalam negara kita boleh juga memberi pertimbangan cadangan Laporan Jawatankuasa Khas embaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) baru-baru ini yang mencadangkan supaya proses pendaftaran parti politik diuruskan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Apa juga cadangan yang ingin dikemukakan terhadap perkara ini, adalah penting supaya semua pihak dalam negara menghormati Perkara 10 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan kita dimana “semua warganegara berhak untuk membentuk persatuan”. Setiap warganegara Malaysia
bukan sahaja berhak untuk menyertai dan meninggalkan sesebuah persatuan ataupun pertubuhan malah berhak untuk menubuhkan persatuan ataupun pertubuhan serta menjalankan aktiviti–aktiviti persatuan atau pertubuhan mereka dengan aman dan baik.

Persatuan dan pertubuhan disini termasuklah penubuhan sebuah parti politik. Hak setiap individu untuk berpersatuan ini juga jelas termaktub dibawah undang-undang antarabangsa seperti Perkara 20 dan 23 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948
(UDHR) dan Perkara 22 Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak- Hak Sivil dan Politikal (ICCPR) 1966. Semua agensi yang berkaitan dengan proses penubuhan persatuan ataupun pertubuhan ini perlu menghulurkan sebarang jenis bantuan yang difikirkan perlu bagi melancarkan usaha penubuhan dan pendaftaran persatuan ataupun pertubuhan ini demi menjaga prinsip demokrasi dalam negara kita dan hak asasi setiap manusia.

Dr. Muzaffar Syah Mallow,
Pensyarah Kanan,
Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)