Gambar hiasan

SEREMBAN – Beberapa laluan di Negeri Sembilan dijangka mengalami pertambahan kenderaan mendadak mulai esok sehingga 2 Januari susulan cuti umum perayaan Krismas pada Jumaat ini serta sambutan Tahun Baharu 2021.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan, Supt Ibrahim Mohd Abdul Kadir berkata, ia membabitkan 19 laluan di kesemua tujuh daerah di negeri ini.

Di daerah Seremban, laluan yang dijangka sesak ialah Jalan Seremban-Kuala Pilah; Jalan Seremban-Tampin, Jalan Rasah, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara dan selatan, Jalan Batang Benar-Pajam dan Persiaran Utama/Jalan Besar Nilai manakala di daerah Port Dickson membabitkan Jalan Port Dickson-Seremban/Melaka dan Jalan Pantai Port Dickson.

“Di daerah Tampin, kesesakan dijangka berlaku di sekitar lampu isyarat pekan Gemencheh/Jalan Gemencheh Lama dan persimpangan lampu isyarat di kilometer satu pekan Tampin dan di daerah Kuala Pilah melibatkan Jalan Kuala Pilah-Seremban, Jalan Tampin-Kuala Pilah dan Jalan Bahau-Kuala Pilah.

“Bagi daerah Jempol, ia membabitkan Jalan Kuala Pilah-Simpang Pertang di kedua-dua arah, pekan Bahau manakala di daerah Jelebu, di laluan pekan Kuala Klawang serta di daerah Rembau, di laluan tol Pedas-Linggi serta Jalan Kota-Rembau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ibrahim berkata, bagi pengguna yang ingin ke pantai timur melalui Negeri Sembilan, mereka dinasihatkan agar menggunakan laluan alternatif lain selain dari Jalan Seremban-Kuala Pilah bagi mengelakkan kesesakan.

“Pengguna juga dinasihatkan agar mematuhi arahan pegawai dan anggota polis yang bertugas, mematuhi had laju yang ditetapkan, bertimbang rasa semasa memandu, merancang perjalanan serta memeriksa kenderaan sebelum menuju ke destinasi yang ingin dituju,” katanya. – MalaysiaGazette