Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan Ahmad Zulqarnain Onn berdiri di hadapan panel yang menunjukkan agihan pendapatan ASB yang diumumkan hari ini.

KUALA LUMPUR – Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) hari ini mengumumkan agihan pendapatan 4.25 sen seunit dan bonus 0.75 sen seunit untuk dana utamanya, Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020.

Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang mengumumkan perkara itu berkata, agihan pendapatan tersebut membabitkan peruntukan sebanyak RM7.6 bilion kepada 10.2 juta pemegang unit amanah berkenaan.

Katanya, pendapatan itu dianggap sebagai pulangan terendah dalam sejarah dana tetap itu.

“Ini menjadikan jumlah pengagihan pendapatan dan bonus terkumpul dana tersebut sepanjang 30 tahun, sejak mula diperkenalkan pada 1990, adalah sebanyak RM159.6 bilion.

“Sebagai tambahan, semua pemegang unit ASB akan menerima pembayaran ihsan khusus sempena Ulang Tahun ASB ke-30, sebanyak 0.75 sen seunit untuk 30,000 unit pertama mereka,” katanya ketika mengumumkan pengagihan berkenaan secara virtual di sini, hari ini.

Menurut Zeti lagi, , strategi kepelbagaian portfolio ASB terus mencatatkan kemajuan pada tahun ini dengan peningkatan pendedahan kepada ekuiti antarabangsa, ekuiti persendirian, hartanah dan pendapatan tetap.

Ujarnya, pelaburan dalam aset antarabangsa pula telah meningkat kepada 5.9 peratus berbanding 3.6 peratus pada tahun lepas.

Tambah beliau, dalam suasana turun naik pasaran global, strategi itu telah mula membuahkan hasil yang positif, dengan bahagian sumbangan pendapatan kasar dari ekuiti awam antarabangsa meningkat dari 6.3 peratus pada 2019 kepada
24.2 peratus pada 2020.

“Pengiraan pengagihan pendapatan dan bonus ASB adalah berdasarkan baki purata minimum bulanan yang dimiliki sepanjang tahun kewangan.

“Unit yang dilaburkan semula dari pengagihan pendapatan dan bonus akan dikreditkan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Januari 2021,” jelasnya.

Katanya lagi, urus niaga ASB telah ditangguhkan buat sementara waktu dari 22 Disember hingga 3 Januari tahun depan bagi memudahkan pengiraan pengagihan pendapatan.

Tambahnya, pemegang unit boleh menyemak dan mengemas kini akaun mereka melalui www.myasnb.com.my atau aplikasi mudah alih myASNB, atau di mana-mana pejabat cawangan dan ejen ASNB di seluruh negara apabila urus niaga beroperasi semula pada 4 Januari 2021.

Tahun lalu, ASNB mengagihkan pendapatan sebanyak 5.00 sen seunit dan bonus 0.50 sen seunit.

Manakala pada 2018, pendapatan ASB dicatatkan 6.50 sen seunit dan bonus 0.50 sen seunit. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. PNB kena jujur announce. Rakyat boleh faham jika dividen rendah pun. Sepatutnya announce ja terus dividen 3.50 + bonus 0.75 + ehsan 0.75.

Comments are closed.