KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengguna (IHP) menurun 1.7 peratus pada November 2020 kepada 120.0 berbanding 122.1 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Penurunan IHP keseluruhan ini telah dipengaruhi oleh penurunan indeks Pengangkutan (-11.1%), Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (-3.3%), Pakaian & Kasut (-0.5%) dan Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah (-0.1%) yang menyumbang 45.7 peratus daripada keseluruhan wajaran

Daripada 552 item yang diliputi di dalam IHP, 334 item menunjukkan peningkatan pada November 2020 berbanding November 2019.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, 153 item mencatatkan penurunan manakala 65 item tidak berubah.

Berdasarkan prestasi 552 item mengikut kategori barangan dan perkhidmatan, Barang Tidak Tahan Lama (296 item) adalah kategori paling banyak mengalami kenaikan harga iaitu 204 item, 78 item menurun dan 14 item tidak berubah berbanding kategori Perkhidmatan, Barang Semi Tahan Lama dan Barang Tahan Lama.

Walau bagaimanapun, Makanan & Minuman Bukan Alkohol meningkat 1.4 peratus kepada 135.1 berbanding 133.3 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Kumpulan ini menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP.

Selain itu, Pelbagai Barangan & Perkhidmatan turut menunjukkan peningkatan 2.3 peratus dan diikuti Kesihatan (1.0%), Pendidikan (0.6%), Minuman Alkohol & Tembakau (0.5%) dan Perkhidmatan Rekreasi & Kebudayaan (0.1%).

Mohd Uzir berkata, IHP tanpa bahan api menurun 0.1 peratus pada November 2020 berbanding November 2019.

IHP tanpa bahan api adalah meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali Petrol Tanpa Plumbum RON95, Petrol Tanpa Plumbum RON97 dan Diesel.

Purata harga Petrol Tanpa Plumbum RON95 menunjukkan penurunan pada November 2020 iaitu RM1.63 per liter berbanding RM2.08 pada November 2019.

Di samping itu, purata harga Petrol Tanpa Plumbum RON97 menurun kepada RM1.93 per liter berbanding RM2.62 dan purata harga Diesel menurun kepada RM1.75 per liter berbanding RM2.18 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Menurutnya, indeks teras meningkat 0.7 peratus pada November 2020 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya, antara kumpulan utama yang bertindak sebagai pendorong kepada kenaikan ini adalah kumpulan Pelbagai Barangan & Perkhidmatan (2.3%), Makan & Minuman Bukan Alkohol (1.2%), Kesihatan (1.0%), Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain (0.6%) dan Pendidikan (0.6%).

Indeks teras meliputi barangan tidak termasuk item makanan segar dengan harga paling tidak menentu serta barangan dan perkhidmatan harga dikawal.

Sementara itu, IHP bagi tempoh Januari hingga November 2020 menurun 1.1 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya. Penurunan ini
dipengaruhi oleh Pengangkutan (-10.1%), Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (-1.7%) dan Pakaian & Kasut (-1.0%).

Bagi perbandingan bulanan, IHP menurun 0.2 peratus berbanding Oktober 2020.

Penurunan ini telah disumbangkan oleh Pengangkutan (-1.0%), Makanan & Minuman Bukan Alkohol (-0.1%), Pelbagai Barangan & Perkhidmatan (-0.1%), Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah (-0.1%) dan Pendidikan (-0.1%).

Indeks bagi semua negeri menunjukkan penurunan antara -1.2 peratus hingga -2.6 peratus bagi November 2020 berbanding November 2019.
Penurunan tertinggi masing-masing dicatatkan oleh Melaka dan Kedah & Perlis iaitu -2.6 peratus. diikuti oleh Sabah & Wilayah Persekutuan Labuan (-2.5%), Sarawak (-2.4%) dan Negeri Sembilan (-2.4%).

Namun begitu, semua negeri mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol. Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya iaitu 2.0 peratus, diikuti oleh Terengganu (1.8%), Johor (1.7%) dan Kelantan (1.5%). – MalaysiaGazette