PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memahami kegusaran orang ramai namun pada masa sama memberi jaminan bekalan daging di pasaran negara ini disahkan halal oleh pihak berwajib.

Malah pengguna dinasihati untuk tidak panik ‘berlebihan’ dengan semua bekalan daging yang dijual.

Ini kerana, kerajaan khuatir akan membawa masalah lain iaitu kemungkinan negara berdepan pula dengan masalah kekurangan bekalan daging walaupun yang dijual itu adalah halal.

Menurut Menteri KPDHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, seandainya masalah ini terus berlarutan sehingga kemungkinan daging yang halal di pasaran terpaksa dihentikan, pastinya ia akan menimbulkan masalah kepada golongan memerlukan bekalan makanan ini.

“Biarlah kerajaan selesaikan isu ini, ianya masih dalam siasatan lagi.

“Buat masa ini saya merayu kepada umum di luar sana supaya janganlah kita tergesa-gesa hendak melakukan sesuatu yang drastik kerana jika hentikan semua penjualan daging serta merta lain pula jadinya.

“Mungkin daging halal juga terpaksa dihentikan penjualannya kerana isu ini. Ini akan menimbulkan masalah kepada yang memerlukan bekalan daging ini.

“Kepada yang was was adakah daging itu halal atau sebaliknya, anda boleh tidak membelinya terlebih dahulu serta buat aduan kepada pihak berwajib.

“Beli kepada yang anda yakin, daging di negara ini sebenarnya tidak bermasalah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Jualan Kembali ke Sekolah di perkarangan KPDHEP di sini sebentar tadi.

Alexander mengulas pembongkaran taktik kartel disyaki menyeludup daging sejuk beku dari luar negara sebelum membungkus semula dengan label serta cap palsu dan menjualnya dalam pasaran negara ini, hasil serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai, Johor.

Kata Alexander lagi, ketika ini pihaknya juga tidak boleh mendedahkan lebih banyak perkara memandangkan perkara itu masih di bawah siasatan banyak.

“Untuk KPDHEP pula, kita tumpu pada penyalahgunaan cap, logo kerana akta di bawah kita yang tertakluk kepada salah guna logo perniagaan atau cap dagangan.

“Yang lain-lain, ianya di bawah Jabatan Veterinar, Jakim, Kastam dan lain-lain. Saya dimaklumkan ketika ini isu ini masih dalam siasatan dan belum ada pengumuman lagi.

“Saya tidak boleh boleh jawab bagi pihak lain, jika boleh kita hendak percepatkan isu ini,” tegasnya. -MalaysiaGazette