Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin.

PUTRAJAYA – “Saya merayu sangat jangan kita politikkan soal vaksin ini,” kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Khairy turut menyatakan kesediaannya pada bila-bila masa untuk memberi taklimat secara terperinci kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai perjanjian yang dibuat dengan pengeluar vaksin Covid-19.

“Selain daripada memuat naik ciapan di Twitter, saya juga telah sampaikan kepada PAC bahawa saya bersedia pada bila-bila masa,” katanya dalam sidang media berkenaan Perkembangan Perolehan Vaksin Covid-19 Negara di sini hari ini.

Ketika disoal wartawan sekiranya ada dalam kalangan jawatankuasa PAC melanggar persetujuan perjanjian kerahsiaan (NDA), Khairy berkata, beliau tidak mempunyai pilihan kerana seboleh-bolehnya mahu bersikap telus.

Tambahnya lagi, beliau turut sukacita dengan harga dos vaksin yang diperoleh oleh kerajaan daripada syarikat Pfizer.

“Saya mahu beritahu rakyat Malaysia bahawa saya teramat gembira dengan harga yang kita dapat dari Pfizer, kalau boleh saya hendak cakap sekarang tapi saya tidak boleh.

“Bahkan berdasarkan harga yang kononnya dibocorkan secara tidak sengaja oleh Kesatuan Eropah (EU), saya lebih gembira dengan harga yang negara telah perolehi, itu merupakan satu yang besar,” ujarnya dalam nada berseloroh bahawa dirinya juga sangat hampir untuk melanggar NDA.

Semalam veteran DAP, Lim Kit Siang menggesa kerajaan untuk mendedahkan berapakah yang dibayar kepada syarikat farmasi Pfizer untuk vaksin tersebut.

Dalam perkembangan lain pula, Khairy secara tegas menyatakan bahawa dakwaan berkaitan ada pihak meraih komisyen RM500 juta menerusi pembelian vaksin Covid-19 sebagai satu tuduhan tanpa bukti.

“Kalau nak buat tuduhan hatta dalam perbahasan di Parlimen, saya tahu lah dalam Dewan Rakyat ada kekebalan undang-undang tapi mestilah dibekalkan dengan bukti. Tak boleh keluar kenyataan tanpa bukti,” katanya.

Terdahulu Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman mendakwa ada pihak meraih komisyen RM500 juta menerusi pembelian vaksin Covid-19 bernilai RM5 bilion.

Tajuddin membuat kenyataan itu di Dewan Rakyat namun tidak mengemukakan sebarang bukti untuk menyokong hujahnya. – Malaysia Gazette