Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng diminta bersara dari politik bagi memberi ruang kepada pemimpin muda mengendalikan parti.

SHAH ALAM – Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, Teng Chang Khim yang telah mengumumkan persaraan politik baru-baru ini mengajak dua veteran parti iaitu Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng untuk mengikut jejak langkah sama.

Beliau berkata, dua pemimpin kanan DAP itu perlu berundur untuk memberi peluang kepada pemimpin generasi muda.

Katanya yang juga Exco Selangor, Kit Siang dan Guan Eng telah mengisi separuh sejarah parti dari 1960 hingga sekarang dan sudah tiba masa untuk menyerah kuasa.

“DAP sudah mencapai zaman puncak dan sudah tiba masa untuk mereka menyerahkan kepada orang lain untuk meneruskan perlumbaan seterusnya,” katanya ketika menerima wawancara Nanyang Siang Pau.

Menurut Chang Khim, disebabkan terlalu lama dengan kuasa dalam parti, banyak perkara telah menjadi “kebiasaan”, malahan menyebabkan mereka mempunyai kuasa yang terlalu besar dalam DAP.

Katanya, walaupun perlembagaan parti menetapkan jawatan Setiausaha Agung DAP tidak boleh dipegang orang sama melebihi tiga penggal, tetapi setiausaha agung semasa (Guan Eng) telah memegang jawatan itu melebihi sembilan tahun.

Jelasnya, keadaan itu berlaku kerana pemilihan parti ditunda beberapa kali kerana bertembung dengan pilihan raya umum.

Mengenai kerjasama dengan UMNO, Chang Khim berpendapat, dalam keadaan yang memerlukan, DAP boleh meneliti bagaimana untuk bekerjasama dengan UMNO bagi membentuk kerajaan.

Katanya, kerjasama itu perlu kerana adalah tidak munasabah jika calon dari sebuah parti kecil yang menjadi Perdana Menteri.

Ujarnya, soal kerjasama harus dilihat secara pragmatik dan ia juga merupakan perkara biasa di Eropah.

Sementara itu, Chang Khim berkata, parti sepatutnya melantik Pengerusi DAP, Tan Kok Wai sebagai Timbalan Menteri Pendidikan dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Berdasarkan pengalaman Kok Wai di Parlimen dan reputasinya dalam msyarakat Cina, urusan pendidikan pasti menjadi lebih lancar jika beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan pada masa itu,” katanya. – MalaysiaGazette