Saarani Mohamad

IPOH – Datuk Saarani Mohamad yang dilantik sebagai Menteri Besar Perak yang baharu pada 10 Disember lepas, hari ini mengumumkan portfolio kesemua 10 ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang dilantik baru-baru ini.

Katanya, beliau yakin setiap Exco berkenaan berkemampuan memberikan komitmen yang tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab mereka membela nasib rakyat.

“Ini adalah tim baharu, jadi tidak timbul isu tukar atau rombak (portfolio),” katanya pada sidang media mengumumkan barisan Exco tersebut di sini.

Beliau turut mengumumkan pelantikan Datuk Abd Manap Hashim sebagai Penasihat Khas Menteri Besar bertaraf Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri Alor Pongsu Datuk Sham Mat Sahat sebagai Setiausaha Politik Menteri Besar.

Mengenai portfolio terbabit, Saarani berkata, selain menerajui kerajaan negeri, beliau  turut memegang Jawatankuasa Agama Islam, Kewangan, Keselamatan, Tanah, Sumber Asli, Perancangan Ekonomi dan Agensi Berkaitan Kerajaan (GLC).

Berikut ialah senarai penuh Exco Perak dan portfolio masing-masing:

  • Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Datuk Mohd Zolkafly Harun;
  • Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Datuk Shahrul Zaman Yahya BN-Rungkup;
  • Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin;
  • Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Komunikasi dan Multimedia Khairul Shahril Mohamed;
  • Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Ahmad Saidi Mohamad Daud;
  • Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Razman Zakaria;
  • Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Mohd Akmal Kamaruddin;
  • Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Zainol Fadzi Paharudin;
  • Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi;
  • Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil Datuk Abdul Yunus Jamahri (Bersatu-Kuala Kurau).
  • – Bernama