Buku penyelidikan lebah kelulut yang dihasilkan oleh UKM.

BANGI – Penyelidikan lebah kelulut yang dijalankan oleh kumpulan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Razinah Sharif @ Mohd Sharif dari Fakulti Sains Kesihatan telah dibukukan bagi memberi informasi kepada penternak lebah kelulut dan orang ramai berkenaan produk hasilan lebah dan lebah
kelulut.

Buku bertajuk Kelulut: Antioksidan dan Tekanan Oksidatif setebal 106 muka surat itu adalah kolaborasi strategik antara UKM dengan Bayu Gagah Marketing (M) Sdn Bhd (Bayu Kelulut) sejak 2016 bagi menghasilkan madu kelulut asli untuk kajian saintifik.

Menurut Prof. Madya Dr. Razinah, buku itu dihasilkan bagi memudahkan peminat lebah dan lebah kelulut kerana penulisannya mudah difahami, selain mempunyai data dari kajian saintifik beliau.

“Kumpulan penyelidikan kami telah berjaya mendapat geran dari Kementerian Pendidikan
Tinggi (KPT) untuk dana penyelidikan berkaitan madu kelulut. Beberapa artikel akademik
berkenaan penyelidikan ini telah diterbitkan, namun masih ada kemahuan penyelidik untuk menjadikan dapatan kajian ini sebagai buku mudah untuk pembaca.

“Jadi, buku ini dihasilkan bagi membolehkan pembaca memahami khasiat madu secara
umumnya dari konteks sains kesihatan dan seterusnya mendapat ilmu berkaitan produk
hasilan lebah kelulut iaitu madu dan propolis serta kesannya sebagai pelindung kepada
tekanan oksidatif. Tekanan oksidatif yang tidak terkawal boleh menjurus kepada penyakit
kronik seperti kanser, obesit, jantung dan sebagainya,” katanya.

Prof. Madya Dr. Razinah Sharif

Tambah beliau, walaupun kajian tersebut dilakukan dalam model kultur sel, namun dapatan kajian dari projek itu amat positif dan memberangsangkan.

“Ujian klinikal madu masih dalam perancangan. Ujian klinikal amat perlu bagi menyokong
dapatan kajian awal kerana testimoni sahaja tidak cukup bagi menyokong ‘claim’ madu ini.

UKM mempunyai kemudahan infrastruktur terbaik bagi menjalankan analisis penyelidikan dan menyokong usaha penyelidik bagi menghasilkan penyelidikan bermutu tinggi,” katanya.

Prof. Madya Dr. Razinah yang merupakan Ketua Makmal Bioserasi UKM berkata buku
tersebut menceritakan tentang madu yang dijadikan sebagai makanan tambahan dan
penulisan turut membincangkan dapatan kajian dari madu dari hasilan lebah kelulut dan
khasiatnya sebagai antioksidan.

Pembaca juga akan didedahkan dengan beberapa konsep asas dalam antioksidan seperti
radikal bebas, tekanan oksidatif, kerosakan DNA dan kerosakan oksidatif. Selain madu,
propolis hasilan kelulut juga dibincangkan dalam buku ini.

Dalam bab terakhir, pembaca diberikan cara untuk mengisi soalan berkaitan produk hasilan madu kelulut sebagai salah satu platform pembaca untuk mendekatkan mereka dengan penyelidik di universiti.

Katanya, dikala pandemik COVID-19 melanda dunia, antioksidan juga penting bagi
meningkatkan imuniti tubuh. Jadi madu kelulut merupakan salah satu alternatif yang boleh dijadikan amalan untuk membantu tubuh manusia dalam menghadapi pandemik Covid-19 terutamanya bagi warga emas.

Beliau berharap agar buku Kelulut: Antioksidan dan Tekanan Oksidatif dapat membantu
pembaca memahami konsep asas dalam sains kesihatan dan memahami potensi sebenar
produk hasilan lebah kelulut.

Lebah kelulut yang merupakan spesies lebah tidak berbisa menjadi sebutan sejak projek
besar-besaran berkenaan penternakan kelulut dilancarkan pada tahun 2012 oleh Institut
Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan dalam Pelan Pembangunan
Industri Kelulut Negara 2020-2030.

Di Malaysia, lebah kelulut mempunyai varian spesies yang lebih banyak berbanding lebah
madu, mungkin kerana geografi Malaysia yang lembab dan sesuai untuk koloni lebah ini.

Lebah yang bersaiz kecil ini mungkin tampak kecil di mata kasar namun madu hasilan lebah ini sebenarnya mempunyai pelbagai khasiat berbanding madu lebah biasa terutamanya dari segi kandungan antioksidan dan pelbagai khasiat terselindung di sebalik ‘liquid gold’ yang dihasilkan itu. – MalaysiaGazette