Kes jangkitan hari ini menurun sedikit berbanding semalam.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Keyakinan rakyat terhadap kerajaan dalam mengendalikan isu Covid-19 merosot dan peningkatan berbentuk V.

Dapatan itu hasil kaji selidik yang dijalankan sebanyak enam kali oleh Pusat Penyelidikan Undian UCSI yang bermula 10 Oktober lalu dan berakhir pada 21 Disember lalu.

Setiap kaji selidik yang dijalankan melibatkan responden yang berlainan dan menggunakan skala 1 (Sangat Tidak Yakin) hingga skala 10 (Sangat Yakin).

Kaji selidik yang dijalankan pada 20 November hingga 23 November melibatkan 1,036 responden mencatatkan kemerosotan keyakinan paling rendah dengan skala 5.95.

Namun keyakinan itu meningkat dalam dua kaji selidik terakhir yang dijalankan terhadap 1,007 responden pada 5 Disember-8 Disember (skala 6.24) dan meningkat sedikit kepada skala 6.32 pada kaji selidik yang dijalankan terhadap 1,289 responden 16
Disember- 21 Disember lalu.

Sementara itu, dalam tiga kali selidik yang dijalankan sebelumnya mencatatkan kemerosotan daripada skala 6.95 pada 10 Oktober-12 Oktober) yang merosot kepada skala 6.58 (25 Oktober hingga 26 Oktober) dan menurun lagi kepada skala 6.40 (6
November-8 November).

Pusat Penyelidikan Undian UCSI berkata, penurunan keyakinan yang dicatatkan pada 10 Oktober hingga 23 November itu mungkin berlaku susulan peningkatan kes Covid-19 yang dilaporkan pihak berkuasa serta polisi yang tidak jelas atau konsisten daripada kerajaan.

Namun berita berkaitan vaksin Covid-19 mungkin menjadi salah satu alasan peningkatan keyakinan terhadap kerajaan.

Oleh itu, katanya, kerajaan wajar mempertimbangkan tahap keyakinan rakyat masa kini ketika mengkaji polisi berkaitan susulan peranan membasmi Covid-19 ini memerlukan kerjasama dan sokongan daripada seluruh rakyat. – MalaysiaGazette