Sebanyak 18 kluster baharu akibat penularan Covid-19 dikesan hari ini dan daripada jumlah itu separuhnya  kluster komuniti.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis menahan 169 individu atas pelbagai kesalahan ingkar arahan prosedur operasi standard (SOP) dan kesemuanya telah dikompaun.

Antara kesalahan ingkar SOP termasuk gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (81), tidak memakai pelitup muka (35), aktiviti pusat hiburan (31), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (13) dan lain-lain (9).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Task Force akan terus mempertingkatkan pemeriksaan serta mengambil tindakan ke atas pemilik premis dan orang awam yang tidak mematuhi SOP PKPP yang ditetapkan.

Dalam kenyataan di sini, beliau memberitahu, Kementerian Sumber Manusia mengesahkan seramai 49,248 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 yang melibatkan 1,990 majikan.

Menurutnya, kos kuarantin dan rawatan bagi pekerja warga asing yang positif COVID-19 yang dipindahkan ke hospital atau Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) akan ditanggung oleh majikan.

Bagaimanapun, katanya, kementerian itu memaklumkan masih terdapat ramai majikan yang enggan memberi kerjasama untuk mematuhi arahan ini.

Sehubungan itu, katanya, mulai 1 Januari 2021, mana-mana majikan yang gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) akan dikenakan tindakan undang-undang dan penalti.

Tambahnya, secara kumulatif, mulai 24 Julai 2020 sehingga 23 Disember 2020, seramai 90,800 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

Daripada jumlah itu, seramai 7,282 individu sedang menjalani kuarantin wajib di 79 Hotel dan 16 premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan.

Seramai 535 individu pula telah dibawa ke hospital untuk rawatan manakala 82,983 individu dibenarkan pulang ke rumah.

Katanya, semalam, seramai 567 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa negara dan kesemuanya telah dikuarantin wajib di stesen kuarantin seluruh negara. – MalaysiaGazette