SEPANG – Rancangan keagamaan khususnya melibatkan program dakwah berasaskan realiti televisyen boleh ditambah baik dengan menetapkan prasyarat wajib kepada para pesertanya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, prasyarat itu adalah latar belakang pengajian Islam dan tauliah daripada mana-mana pihak berkuasa.
Jelas beliau, ia perlu demi menjaga kualiti pendakwah yang dilahirkan menerusi program dakwah di televisyen.
“Mengkaji secara mendalam setiap program dakwah yang berasaskan realiti televisyen. Mungkin perlu ada prasyarat wajib seperti memiliki latar belakang pengajian Islam dan tauliah daripada mana-mana pihak berkuasa.
“Ini bagi memelihara kualiti pendakwah yang lahir daripada program tersebut,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Tausiyah bersama para pendakwah selebriti di sebuah hotel di sini hari ini.
Terdahulu beliau yakin terdapat banyak ruang untuk penambahbaikan rancangan-rancangan agama di negara ini.
Antaranya ialah memperbanyakkan rancangan yang bersifat menjawab isu-isu semasa.
“Mengelakkan perbincangan topik isu-isu mencetuskan khilafiyah (salah faham) yang tidak sesuai dibahaskan secara umum di khalayak,” tambahnya.
Rancangan kegamaan juga katanya boleh menampilkan pihak berkuasa dengan kepakaran masing-masing bagi mengulas isu berkaitan drngan dasar kerajaan dan fatwa.
Selain itu katanya rancangan keagamaan juga wajar mempelbagaikan lagi bentuk-bentuk rancangan agama supaya dapat menarik pelbagai lapisan masyarakat. – MalaysiaGazette
















