Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

KAJANG – Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah berkata, beliau boleh sahaja berehat daripada kariernya sebagai seorang ahli politik.

Namun, beliau menyerahkan perkara itu kepada UMNO, parti yang disertai untuk mencaturkannya.

“Saya boleh berehatlah, tapi terpulang kepada parti (jika tidak mahu dicalonkan sebagai Ahli Parlimen),” katanya ringkas.

Beliau ditanya wartawan apabila ada desas-desus yang meminta agar veteran UMNO itu berundur daripada arena politik tanahair.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi tamu pada Progran Minda Profesor anjuran Majlis Profesor Negara, di sini hari ini

Sementara itu, ketika ditanya mengenai “cakap-cakap” daripada pihak tertentu yang mendakwa beliau bercita-cita mahu menjadi perdana menteri selepas mengadakan gabungan dengan Tun Dr Mahathir, Tengku Razaleigh yang lebih mesra di panggil Ku Li berkata, beliau boleh memegang jawatan itu sekiranya beliau mahu.

Katanya, beliau pernah mendapat tawaran sedemikian daripada Tun Hussein Onn pada tahun 1977, namun beliau telah membuka laluan itu kepada Dr Mahathir.

“Kalau saya nak jadi PM (Perdana Menteri) dah lama saya jadi PM.

“Sebab saya tak nak jadi PMlah saya beri jawatan itu kepada Dr Mahathir. masa itu saya dah jadi senior pun,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau meluahkan rasa malu dan pelik dengan tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang bersetuju menjadi ahli dalam Majlis Presiden Perikatan Nasional.

Ujarnya, UMNO bukannya ahli dalam Perikatan Nasional, sebaliknya yang ada hanyalah Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Sebelum ini, UMNO membenarkan ahlinya menyertai Kabinet dalam usaha menstabilkan krisis politik ketika itu. Itu saja tujuannya.

“Kita ingat, selepas politik sudah stabil, UMNO perlu berundur dari Kabinet.. Itulah ideanya.. Bukannya berada dalam Kabinet selamanya,” katanya yang juga Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO. – MalaysiaGazette