Peguam, Siti Kassim.

KUALA LUMPUR – Peguam kontroversi, Siti Kassim hari ini memohon maaf kepada seorang netizen gara-gara gambar yang diedit dan tular di media sosial.

Dalam satu pengumuman awam permintaan maafnya, Siti juga memadamkan komennya terhadap netizen dikenali Hj Joe pada dua hari lepas.

“Saya dengan tulus ikhlas, meminta maaf kepada Hj Joe atas pengeposan yang saya buat 2 hari yang lalu berkenaan ‘Selamatkan Janda’. Apabila beliau memberitahu saya bahawa gambar tersebut telah di edit, saya menurun gambar tersebut dengan serta-merta.

“Saya mengambil gambar itu dari twit yang dibuat oleh seorang lelaki yang mana saya mempercayai bahawa ia benar. Saya tidak ada keraguan untuk meminta maaf sekiranya saya melakukan kesilapan,” katanya dalam kenyataan di media sosialnya hari ini.

Sebelum itu, gambar Hj Joe diedit seolah-olah memegang poster Kempen Basmi Janda sedangkan gambar sebenar dia memegang poster bertulis ‘Jangan Zalimi Felda.’

Selepas itu, Siti memberi komen pedas dengan menyebut beberapa perkataan kurang manis terhadap Hj Joe sambil memuatnaik gambar yang diedit.

Sebelum itu, Hj Joe dalam hantaran di media sosial mahu menyaman Siti kerana mendakwa bertujuan jahat dan membuat fitnah terhadapnya.

“Ada tak sapa- sapa yang sanggup jadi lawyer saya untuk saman Siti Kasim ni. Gambar edit ini digunakan untuk tujuan jahat dan fitnah ke atas saya,” kata Hj Joe.

Dalam pada itu, menurut Siti dalam permohonan maafnya, beliau sendiri menjadi mangsa dengan gambar yang diedit dan dipanggil nama pelbagai jenis.

“Saya hanya manusia biasa dan saya membuat kesilapan dengan tidak memeriksa kebenaran foto tersebut. Sekali lagi, saya memohon maaf kepada Hj Joe dengan kesilapan saya,” katanya.- MalaysiGazette