Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim (2 dari kiri) mewakili UTeM bertukar memorandum bersama dengan wakil HRSB Holdings Sdn Bhd yang diwakilili oleh Ketua Pegawai Kewangan Noranis Bohari sewaktu pemetraian MoA pada 18 Disember 2020 lalu bertempat di Bangunan Canselori, kampus induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka baru-baru ini.

KUALA LUMPUR  – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerokai penyelidikan bagi membangunkan jentera berat bagi penyelenggaraan loji penapisan minyak dan gas bertaraf global.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, projek penyelidikan itu menjadi salah satu pencapaian berprestij UTeM apabila diberi kepercayaan bagi menjayakan projek membangunkan jentera berat berkenaan.

“Penyelidikan ini merupakan perkongsian kepakaran oleh kumpulan penyelidik UTeM bersama dengan syarikat HRSB Holdings Sdn Bhd yang telah dimeterai Memorandum Perjanjian (MoA) baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Projek berkenaan dibiayai menerusi peruntukan geran sepadan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang bernilai RM400,000 yang mana sejumlah RM200,000 dibiayai daripada HRSB Holdings dan RM200,000.00 daripada UTeM.

Ujar Dr Raha lagi, produk penyelidikan yang diberi nama Extendable Bundle Puller itu berfungsi untuk mengeluarkan tiub dalam sistem penyejukan loji yang perlu diselenggara secara berkala untuk memoptimumkan operasi sistem bagi sesebuah loji penapisan minyak dan gas.

“Projek ini akan dijalankan dalam jangka masa 18 bulan oleh kumpulan penyelidik UTeM dari Pusat Penyelidikan Termaju (AMC) bersama Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Kejuruteraan Pembuatan dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FTKMP).

“Misi penyelidikan berimpak dunia yang membuka dimensi baru bagi jentera berat penyelenggaraan loji penapisan minyak dan gas ini ini diketuai oleh ketua penyelidik Ir Dr Mohd Shukri Yob bersama ahli kumpulan penyelidik berpengalaman UTeM,” katanya lagi.

Terdahulu UTeM telah mengikat kerjasama strategik bersama dengan pihak HRSB Holdings Sdn Bhd menerusi pemeteraian MoA pada 18 Disember 2020 lalu bertempat di Bangunan Canselori, kampus induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka.

Pada majlis MoA itu, HRSB Holdings diwakili oleh Ketua Pegawai Kewangannya, Noranis Bohari manakala pihak UTeM pula diwakili oleh Prof. Dr Ghazali Omar yang menjalankan tugas Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi.

Syarikat berprestij itu mempunyai kepakaran dalam pengurusan projek, penyelenggaraan loji, kerja-kerja pemulihan serta perkhidmatan dan latihan perancah dalam sektor minyak dan gas. – MalaysiaGazette