Rokok yang berjaya dirampas pihak polis pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 26 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Jurang harga rokok produk sah dan seludup mengakibatkan aktiviti penyeludupan rokok di Malaysia berada pada tahap kritikal.

Perkara ini disahkan dalam kajian antarabangsa dan tempatan yang menyokong fakta tersebut, menurut Advokasi Runcit dan Jenama Dagang Cawangan Malaysia (RTBA Malaysia), Datuk Fazli Nordin.

Menurutnya, laporan tahunan KPMG “Illicit Tobacco in Australia” mendedahkan situasi rokok seludup di negara itu meningkat sangat besar daripada 14% pada 2018 menjadi lebih 20% pada 2019, susulan pertambahan cukai sementara sebanyak 12.5% pada Mei 2016.

Laporan terkini oleh Jawatankuasa Bersama Parlimen Australia mengenai Pasaran Rokok Seludup turut mengesahkan dasar berasaskan harga Australia untuk mengawal tembakau sebenarnya telah gagal.

Manakala Laporan Jawatankuasa Bersama Parlimen itu turut mendedahkan bahawa pada 2018 dan 2019, sejumlah 633 tan rokok tidak sah telah dirampas, yang merupakan rekod baharu rampasan terbesar.

Sementara laporan RTBA sendiri bertajuk “Illicit Tobacco in the Asia-Pacific Region: Causes and Solutions” yang diterbitkan pada April 2020 menunjukkan bahawa jualan rokok seludup di Malaysia telah meningkat daripada 37% pada 2015 menjadi 65% pada 2020.

Pertambahan ini adalah susulan kenaikan besar cukai ke atas rokok pada 2015.

”Jelas, angka besar itu membuktikan apa yang kita risaukan,” kata Fazli.

Lantaran itu, katanya, RTBA bersetuju dengan saranan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan supaya cukai tembakau dipotong separuh bagi mengekang pasaran seludup.

Pada sidang Dewan Rakyat baru-baru ini, Ahli Parlimen Pontian yang juga Setiausaha Agung UMNO mencadangkan diadakan program perintis dua tahun bagi membolehkan syarikat-syarikat tembakau menjual rokok sah pada harga RM8 sekotak, yang dekat dengan harga sekotak rokok seludup.

Menurutnya, Malaysia merupakan pasaran rokok seludup terbesar di dunia, mewakili 64% penguasaan pasaran.

Rokok-rokok lazimnya `lenyap’ di Malaysia semasa proses penghantaran sebelum mereka dieksport semula ke negara lain.

Malaysia kehilangan kira-kira RM5 bilion dari segi hasil cukai rokok setiap tahun dan kerajaan telah mengambil langkah berani untuk menangani masalah rokok seludup di dalam Belanjawan 2021.

”Oleh itu, pandangan Datuk Seri Ahmad Maslan adalah tepat apabila mengenal pasti bahawa perubahan cukai merupakan penyelesaian terbaik untuk menyokong inisiatif penguatkuasaan yang dipertingkatkan di dalam Belanjawan 2021 bagi menangani pasaran rokok seludup secara menyeluruh,” tambah beliau.

Malah, katanya, ada pakar cukai yang bersetuju dengan cadangan ini apabila Pengerusi Tricor Malaysia, yang juga Presiden Institut Akauntan Malaysia, Dr. Veerinderjeet Singh, telah mencadangkan supaya syarikat rokok dibenarkan untuk memperkenalkan produk baharu, dikenakan cukai pada kadar lebih rendah menerusi tahap percukaian baharu.

Dengan ini, akan mewujudkan segmen rokok sah paling rendah yang secara nyata dapat bersaing dengan rokok seludup berasaskan harga.

”RTBA Malaysia juga percaya bahawa penyelesaian ini boleh secara berkesan mengekang pasaran seludup dari segi perspektif dipacu permintaan,” kata Fazli lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Harap inisiatif kerajaaan dan KKM utk bendung tabiat merokok tidak dihentikan semata mata nak jaga cukai yg hilang. Wlpun cukai hilang akibat penyeludupan, kena kaji juga kos timbal balik yg dapat, cth menurunnya kos rawatan pesakit akibat rokok.
    Atau jika nak win win situation, boleh ubah cara. Rokok harga turun semula tp hanya boleh hisap dlm bar rokok shj. Mcm kedai vape. Kat rumah, dlm kereta atau luar bar rokok, denda jika hisap.
    Umur bawah 25 tahun tak leh masuk, wanita pun tak leh masuk.

Comments are closed.