Saturday, April 27, 2024
Home Nasional Khaidir semakin pulih – Kementerian Luar Negeri

Khaidir semakin pulih – Kementerian Luar Negeri

Khaidir Abu Jalil sedang menjalani rawatan di Hospital St Vincent, Sydney Australia. Foto:The Sydney Harold

KUALA LUMPUR – Kementerian Luar Negeri mengambil maklum laporan berita berkenaan seorang warganegara Malaysia, Khaidir Abu Jalil yang sedang menjalani rawatan di St. Vincent’s Public Hospital, Darlinghurst Sydney.

Pegawai Konsulat Malaysia di Sydney telah pun menziarahi Khaidir, yang mana keadaan beliau dilaporkan semakin pulih dan akan dibenarkan keluar dari hospital dalam masa terdekat.

Khaidir memaklumkan laporan media ke atas beliau adalah tidak tepat memandangkan beliau sentiasa berhubung dengan ahli keluarga di Malaysia.

Beliau juga mengakui tidak memaklumkan keadaan beliau kepada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra atau Konsulat Malaysia di Sydney.

Walau bagaimanapun, beliau berterima kasih di atas sokongan serta bantuan yang telah diberikan oleh semua pihak.

Khaidir juga telah memohon supaya diberikan ruang untuk menjalani proses pemulihan dengan tenang dan tanpa gangguan daripada pihak media buat masa ini.

Kementerian Luar Negeri prihatin akan keadaan warganegara Malaysia di luar negara dan menasihatkan supaya berhubung dengan Perwakilan Malaysia yang terdekat sekiranya berlaku sebarang kecemasan dan memerlukan bantuan konsular.

Khaidir,34,  dilaporkan terlantar sakit di katil hospital bersendirian tanpa ditemani ahli keluarga selama enam bulan.

Beliau disahkan menghidap dermatomyositis oleh doktor yang merawatnya, menurut The Sydney Morning Herald . –  MalaysiaGazette