Orang ramai menonton filem dalam situasi norma baharu dengan mematuhi SOP pada hari pertama dibuka semula berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di pawagam Golden Screen Cinema IOI City Mall, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 01 JULAI 2020

SAYA sebagai pesara kerajaan yang mempunyai beberapa pengalaman berkaitan rasa terpanggil untuk menyokong serratus peratus pandangan daripada Ibn Saad yang disiarkan pada Rabu, 23 Disember 2020 dengan tajuk “Tubuh agensi khusus didik masyarakat utama kesihatan” di ruangan Minda Pembaca, Berita Harian.

Kini saya adalah aktivis dan saya sendiri melihat rangkaian serta gerakan kesedaran kesihatan ini telah terputus sejak Lembaga Promosi Kesihatan di Kementerian Kesihatan (KKM) dimansuhkan mulai tahun 2019.

Rasanya ramai akan setuju dalam menggerakkan sesuatu usaha memperkasa masyarakat, kita perlu gerakkan ketua-ketua, Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) dan influenser komuniti yang berpengaruh. Barulah sesebuah komuniti atau masyarakat itu akan cepat berubah atau sedar.

Untuk menggerakkan mereka ini pula, sudah tentu kita perlukan dana. Takkan kita hanya sekadar menyuruh dan mengharap tapi ‘tak cukup modal’ untuk mudahkan usaha-usaha murni ini?

Sudahlah kita perlukan dana yang setimpal untuk perkara ini, ia juga diperlukan dengan kadar segera. Jika lambat proses, maka impak pun akan lambat bak Siput Babi.

Jika tiada satu agensi yang berkesan dan mudah untuk urusan itu, usaha murni kita akan gagal. Tambahan pula apa yang pernah Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba sebut baru-baru ini, keupayaan komuniti atau orang ramai sebagai frontliners ini semakin hari semakin diperlukan. Bukannya semakin hari boleh dikendurkan.

Pertamanya kerana berlakunya kelesuan kesedaran dalam kalangan orang ramai. Kelesuan yang dimaksudkan adalah mental untuk disiplinkan diri mematuhi prosedur operasi standard atau SOP dan amalan norma baharu.

Tak salahkan sebelah pihak saja, ada segelintir dari orang kita terasa lesu kerana mereka melihat ramai orang lain tak patuhi SOP dan tak amalkan norma baharu. Sedangkan diri kita sendiri sentiasa patuh untuk jaga keselamatan diri dan kesihatan orang lain. Terasa tidak adil dan lesu mental.

Samalah juga dengan golongan majikan atau pekedai. Mereka pula alami kelesuan untuk menguatkuasakan SOP mengikut saranan Majlis Keselamatan Negara (MKN) di premis mereka. Ini jelas nampak jika kita pergi kemana-mana, ada saja orang ambil mudah kerana ada orang lain yang turut ambil mudah.

Sepatutnya amalan norma baharu semakin menjadi perangai, tabiat, budaya yang melekat pada setiap masa pada diri kita. Bukannya makin rasa lesu dan layu untuk amalkannya.

Apa yang Dr Adham sebut sebagai pendekatan ‘CAPP’ di bawah program pemerkasaan komuniti bagi mencegah penularan virus Covid-19 adalah sangat penting kerana pada 31 Disember ini tamatlah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan atau PKPP.

Mulai 1 Januari 2021, apakah bentuk PKP yang kita nak laksanakan sedang sekolah nak dibuka, pelancongan sudah mula digerakkan, kampus juga nak dibuka, manakala para pelajar dari luar negara sudah dibenarkan datang, rentas negeri juga sudah tiada had kecuali kawasan zon merah. Sanggupkah kita mengambil mudah amalan norma baharu dan kita kembali ‘dikurung’ melalui pelaksanaan PKP Bersyarat (PKPB)?

Jadi usaha membendung jangkitan wabak ini semakin mula banyak disandarkan kepada tindak tanduk masyarakat sendiri. Tak boleh tidak kita kena menang dalam perjuangan ini. Oleh itu, jawapan dan keputusannya hanya ada pada diri setiap masyarakat yang ada dalam negara kita.

Jika masyarakat kian peka dan insaf untuk amalkan norma baharu dan ikut SOP, bolehlah para petugas KKM lebih menumpukan tugas lazimnya seperti melakukan saringan, rawatan dan sebagainya.

Manakala agensi lain pula menumpukan kepada penguatkuasaan norma baharu seperti memakai pelitup hidung dan mulut, mencuci tangan, mengekalkan jarak fizikal serta lain-lain SOP.

Namun dengan jumlah anggota Polis, Tentera, RELA, Imigresen, Kastam, Pihak Berkuasa PBT yang sedia ada, memang tidak dapat mereka nak tengok tiap-tiap orang, tak dapat dikawal.

Itulah perlunya ada satu agensi yang boleh menggerakkan NGO untuk mencegah menerusi pendidikan atau kesedaran, asuhan untuk rakyat mengamalkan norma baharu, serta sedar untuk sama-sama patuh dan pantau keadaan sekeliling. Mereka inilah yang akan melindungi kawasan kampung dan perumahan masing-masing daripada jangkitan
Covid-19, mahupun bahaya yang lain.

Ingatlah bahawa kita pernah berjaya suatu ketika dahulu, ketika kita ajak orang mencegah wabak denggi dan penyakit berjangkit lain. Termasuk dalam mengajak orang ramai mengamalkan gaya hidup sihat.

Kali ini kita pasti boleh berjaya lagi jika sama-sama mengambil bahagian. Jangan asyik nak menuding jari saja, sebaliknya sama-sama antu untuk kita hentikan penularan virus pembawa maut ini.

ABDUL MAJID JAHAYA
Pesara Kerajaan / Aktivitis NGO