LAHAD DATU – Bekas Timbalan Menteri Penerangan Datuk Railey Jeffrey, 75, meninggal dunia di kediamannya di Damansara Lagenda, Petaling Jaya, pada pukul 5.30 petang, semalam.

Berita itu dikongsi kenalan Allahyarham iaitu mantan Pengerusi Persatuan Etnik Cocos Sabah (PECOS) cawangan Lahad Datu Ishak Harry, 74, yang dihubungi Bernama.

Ishak berkata perkara itu diketahui melalui adik Allahyarham, Kemley Jeffrey.

Difahamkan jenazah Allahyarham akan dikebumikan esok di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

“Allahyarham merupakan rakan saya dari kecil kerana kami tinggal berjiran di Kampung Segama.

“Allahyarham, sesungguhnya seorang sahabat serta pemimpin yang baik hati dan jujur,” katanya dan kali terakhir bertemu pada tiga tahun lalu ketika Persidangan UMNO di Lahad Datu.

Railey menjawat jawatan Timbalan Menteri Penerangan pada tahun 1986 sehingga 1995 dan selepas itu memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya sehingga tahun 1999.

Pada tempoh itu, beliau merupakan Anggota Parlimen Silam daripada Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) yang kemudian menyertai UMNO pada tahun 1991.

–BERNAMA