Pemangku Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Johor (DPMMNJ), Muhammed Farhan Basheer

KUALA LUMPUR – Jenama daging yang terbabit dengan kartel penipuan label halal perlu didedahkan segera bagi mengelak umat Islam di Malaysia terus membeli produk tersebut.

Pemangku Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Johor (DPMMNJ), Muhammed Farhan Basheer berkata, selama ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan persatuan pengguna kerap mendedahkan pelbagai jenama makanan atau produk yang memalsukan tanda halal, mengandungi lemak babi atau mengelirukan pengguna Islam dengan jenama yang Islamik.

“Kami ada senarai sekurang-kurangnya enam jenama daging terbabit tetapi kerajaan yang sewajarnya mendedahkan perkara berkenaan.

“Kerajaan juga perlu mengheret pihak yang terbabit dengan kartel ini ke mahkamah dan penguatkuasaan mesti dipertingkatkan bagi memastikan kegiatan seperti ini dibanteras,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohammed Farhan berkata, DPMMNJ menyarankan kerajaan memperhalusi cadangan supaya hanya membenarkan import ternakan hidup bagi menamatkan kegiatan kartel serta jaminan bekalan daging halal yang berkualiti.

Jelasnya, lembu, kambing atau kerbau import akan disembelih di rumah sembelihan milik jabatan atau persendirian yang mempunyai pensijilan halal.

“Selepas itu ia diproses, disejuk beku dan disimpan sebelum diedarkan ke pasaran domestik. Dengan ini, kita akan mendapat jaminan bekalan daging halal serta berkualiti.

“Sudah tiba masanya kerajaan mewujudkan ekosistem bagi rantaian bekalan daging halal bersepadu serta penggunaan logo dan jenama khas untuk produk daging halal di negara ini,” ujarnya.

Tambahnya, sekretariat DPMMNJ juga akan mengenal pasti ahlinya yang terbabit dengan pembekalan daging di seluruh negara dan memperoleh maklumat berkaitan untuk rekod. – MalaysiaGazette