Warga asing di Malaysia akan diberi vaksin Covid-19 dalam usaha mewujudkan persekitaran selamat. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Mana-mana majikan yang dikesan gagal menyaring pekerja asing dengan ujian Covid-19 diberi dua pilihan.

Pertama, tindakan kompaun dan keduanya diheret ke mahkamah untuk hukuman lebih berat, kata Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Arahan itu, katanya, berkuatkuasa mulai 1 Januari 2021.

Katanya, bermula 1 Disember lalu, kerajaan telah mengarahkan semua pekerja warga asing khususnya di enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah, Kuala Lumpur dan Labuan untuk menjalani ujian saringan Covid-19 dan kos ujian saringan ditanggung majikan masing-masing.

“Sehingga kini, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan seramai 70,159 pekerja warga asing berjaya menjalani ujian saringan Covid-19 yang melibatkan 2,405 majikan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Justeru katanya, KSM juga mengesahkan terdapat sebanyak 34,903 majikan yang telah mendaftar melibatkan 821,127 pekerja asing di keenam-enam negeri terbabit.

Sehingga kini juga, jelas Ismail Sabri, sebanyak 749 buah klinik telah terlibat dengan program saringan.

“Kerajaan dimaklumkan setiap klinik akan menyaring 200 hingga 400 pekerja sehari. Kerajaan akan menguatkuasakan arahan ini bermula 1 Januari 2021 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) di mana majikan yang gagal mematuhi arahan ini akan dikenakan tindakan undang-undang dan penalti.

“Kita memberi dua pilihan kepada Kementerian Kesihatan iaitu sama ada keluarkan kompaun RM1, 000 atau membawa mereka ke mahkamah untuk ditetapkan hukuman penjara,” kata Ismail Sabri.

Mengenai kritikan awam mengenai sebuah kilang sarung tangan di Klang yang hanya didenda RM1000 sahaja kerana melanggar peraturan, beliau berkata; “Saya faham kemarahan rakyat persoalkan kenapa hanya didenda RM1, 000 sahaja. Ingin dijelaskan di sini di bawah Akta 342 hukuman denda maksimum yang diperuntukkan adalah RM1,000 sahaja.

“Kalau mahu menambah hukuman sehingga RM10,000 maksimum boleh tetapi akta berkenaan perlu dibawa ke mahkamah untuk dipinda sebelum menguatkuasakannya kecuali kes dibawa ke mahkamah yang boleh menetapkan penjara maksimum 12 bulan.

“Saya harap majikan-majikan boleh bekerjasama dengan KSM dan jadual pemeriksaan KSM sudah disediakan kepada semua majikan untuk menyaring pekerja mereka,” katanya lagi.

Dalam pada itu, selain enam negeri terbabit, majikan di negeri -negeri lain yang tak terlibat boleh mengambil inisiatif sendiri dengan menghantar para pekerja asing mereka untuk ujian saringan.

“Jika ada kes jangkitan positif Covid-19 dalam kalangan pekerja asing di kilang mereka, kita akan tutup operasi kilang mereka,” tegas beliau.-MalaysiaGazette