Lai Tak Ming

KUALA LUMPUR – Walaupun pasaran pekerjaan semakin tidak menentu, sembilan daripada 10 kakitangan di Malaysia melihat keperluan untuk melatih semula kemahiran (reskilling) atau menambahkan kemahiran (upskilling) supaya kekal relevan dalam dunia pasca wabak, menurut Kajian Sentimen Pengguna ASEAN UOB 1 .

Pandangan itu adalah hasil daripada jangkaan ia akan menjadi sukar untuk mendapatkan pekerjaan baharu akibat kemelesetan ekonomi di Malaysia.

Sejumlah 85 peratus responden Malaysia percaya syarikat lebih cenderung mengambil pekerja yang boleh melakukan pelbagai fungsi manakala 83 peratus berpendapat majikan akan mengurangkan jumlah pekerja apabila usaha pendigitalan mereka ditingkatkan.

Kebanyakan responden (78 peratus) menjangka syarikat akan memberhentikan pekerja untuk mengurangkan kos.

Dalam kalangan kumpulan umur berbeza yang ditinjau, kebimbangan tentang jaminan pekerjaan paling dirasakan oleh Generasi Z – golongan yang berumur antara 18 hingga 23 tahun.

Sembilan puluh empat peratus responden dalam lingkungan umur ini juga percaya bahawa majikan akan memberhentikan kakitangan untuk mengurangkan kos jika diperlukan.

Sentimen itu disokong oleh Generasi X (berumur 40 hingga 55 tahun) dan Generasi Y (berumur 24 hingga 39 tahun) yang mencatat 77 peratus dan 76 peratus masing-masing.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Negara Sumber Manusia UOB Malaysia, Lai Tak Ming berkata, pandemik Covid-19 menekankan pentingnya pembelajaran dan pembangunan yang berterusan.

Katanya, tinjauan ini dijalankan oleh UOB dan Blackbox pada Julai 2020 di kalangan 3,510 individu yang berumur antara 18 hingga 65 tahun di lima pasaran ASEAN termasuk 1,030 dari Singapura dan 2,480 merentasi negara Indonesia, Malaysia, Thailand dan Vietnam.

Sama seperti Malaysia, kebanyakan pekerja di Indonesia (93 peratus), Singapura (90 peratus), Thailand (93 peratus) dan Vietnam (92 peratus) melihat keperluan untuk melatih semula kemahiran atau meningkatkan kemahiran sebagai kunci untuk
kekal berdaya saing.

”Tahun ini telah mengubah dengan cepatnya cara kita bekerja, dan perubahan ini akan terus mempengaruhi cara syarikat dijalankan pada masa hadapan pasca wabak Covid 19, amat penting bagi syarikat memiliki tenaga kerja yang tangkas dan mudah menyesuaikan diri untuk menangani persekitaran kerja yang sentiasa berubah disebabkan oleh ketidakpastian dan gangguan.

”Krisis ini telah mempercepat usaha pendigitalan, justeru adalah penting bahawa tenaga kerja kami mempunyai kemahiran yang diperlukan untuk memenuhi keperluan pelanggan generasi baharu yang celik teknologi,” menurutnya.

Sehubungan ini, ia juga menjalankan beberapa program latihan yang menyediakan pengalaman semasa kerja untuk para graduan baru serta golongan profesional di pertengahan kerjaya mereka.

Semua program ini memberi peluang kepada para peserta untuk membangunkan kemahiran yang diperlukan bagi membantu mereka berjaya dalam industri perbankan dan kewangan. – MalaysiaGazette