gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia telah membuat penentuan awal terhadapo penyiasatan anti-lambakan mengenai mengenai import keluli tahan karat gulungan sejuk dalam bentuk gegulung, kepingan atau apa-apa bentuk lain (dagangan subjek) dari
Indonesia dan Vietnam seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 23 Akta Duti Timbal Balas dan Anti Lambakan 1993 (Akta).

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, kerajaan mendapati terdapat bukti yang mencukupi untuk meneruskan siasatan terhadap pengimportan dagangan subjek dari negara-negara tersebut.

Menurutnya, kerajaan telah memutuskan untuk mengenakan duti anti-lambakan sementara dalam bentuk jaminan bank yang bersamaan dengan nilai margin lambakan yang telah dikenal pasti dalam penentuan awal.

Duti anti-lambakan sementara di antara 7.73 hingga 34.82% akan dikenakan ke atas import dagangan subjek dari negara-negara berkenaan dan ianya akan berkuat kuasa bagi tempoh tidak melebihi 120 hari mulai 26 Disember 2020.

”Kerajaan Malaysia telah memulakan penyiasatan pada 28 Julai 2020 selaras dengan Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993 dan Peraturan-Peraturan Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1994 berdasarkan petisyen yang difailkan oleh Bahru Stainless Sdn. Bhd. (Pempetisyen) sebagai industri tempatan tunggal yang mengeluarkan produk serupa.

”Pempetisyen mendakwa dagangan subjek yang berasal atau dieksport dari negara-negara berkenaan telah diimport keĀ  Malaysia pada harga yang lebih rendah daripada harga yang dijual di pasaran domestik negara-negara tersebut dan telah menyebabkan kemudaratan material kepada industri tempatan di Malaysia,” kata MITI.

Tambahnya, penentuan muktamad akan dibuat tidak lewat daripada 23 April 2021.

Pihak berkepentingan seperti pengimport, pengeluar atau/dan pengeksport asing dan persatuan-persatuan berkaitan dengan penyiasatan boleh mendapatkan salinan versi tidak sulit laporan mengenai Penentuan Awal dengan membuat permohonan bertulis kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di alamat berikut:

Pengarah
Seksyen Amalan Perdagangan
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
Aras 9, Menara MITI
No. 7, Jalan Sultan Haji Ahmad Shah
50480 Kuala Lumpur
Malaysia – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kalau dah murah pun salah mahal pun salah. Apa nak jadi dengan kerajaan kita nih. Mungkin ada rasuah lah tu nak bela syarikat tempatan yang jual mahal dari barang import.

Comments are closed.