Datuk Sohaimi Shahadan

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu memberi fokus kepada usaha memenuhi keperluan daging halal dengan memperkasakan sektor penternakan lembu bagi mengurangkan kebergantunan negara kepada sumber daging dari luar negara.

Isu kartel daging haram berlaku ekoran kekurangan penawaran bekalan daging halal oleh pengeluran untuk keperluan domestik.

Presiden Dewan Perdagangan dan Industri ASEAN (DPIA), Datuk Sohaimi Shahadan berkata, permintaan daging halal di negara tinggi berikutan 70 peratus penduduknya beragama Islam.

“Disebabkan kelemahan dalam penawaran bahan bekalan ini maka ada pihak tidak bertanggubgjawab cuba memanipulasi pengeluar kartel daging haram.

“Isu ini ada soal permintaan dan kelemahan penawaran sehingga wujud kartel daging haram,” katanya.

Beliau memberitahu, isu itu boleh diatasi sekiranya kerajaan membangunkan kembali dan memperkemaskan pengurusan Pusat Fidlot Nasional (NFC) sebagai pengeluar daging halal utama negara.

Jelasnya, NFC adalah antara model bisnes yang terbaik jika ia berfungsi seperti mana perancangannya.

“Jika NFC berfungsi dengan baik ia mampu mengatasi permintaan di seluruh negara.

“Ia perlu menjadi hab daging halal bagi melawan dan menghapus kartel daging haram. Kalau ini berjalan dengan betul, lama-lama kartel haram ini mati,” jelasnya.

Kata beiau, pengeluaran daging halal harus kuat dalam menguasai ekonomi bagi melumpuh kartel berkenaan.

Sohaimi menjelaskan, kerajaan perlu memberi peluang kepada mereka yang berkebolehan dan telus menguruskan NFC agar tidak terjadi kontrovesi seperti sebelum ini.

“Dalam pada itu, perlu perkemaskan saluran pengedaran kepada peniaga agar mereka benar-benar mendapat bekalan.

“Kementerian Pertanian harus ada mekanisma dan pelan baru bagi pengurusan NFC ini,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Sohaimi mendesak kerajaan agar bertindak tegas terhadap pihak yang terbabit dengan kartel daging halal serta mahu pihak berkuasa menarik balik lesen halal serta permit import daging syarikat yang berkait dengan kartel halal. – MalaysiaGazette