Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Seremban, Negeri Sembilan dilanjutkan untuk 14 hari lagi bermula 1 hingga 14 Januari 2021.

PKPB di Port Dickson pula tamat mulai hari ini, kata Menteri Kanan Keselamatan,  Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sebelum itu, katanya, kedua-dua daerah itu menjalani PKPB serentak yang sepatutnya tamat pada 31 Disember ini namun Port Dickson ditamatkan awal hari ini.

Menurutnya, PKPB diteruskan di Seremban berikutan masih terdapat sebanyak 861 kes aktif yang positif di daerah tersebut sebelum Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)  mencadangkan melanjutkannya dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara.

“Manakala kerajaan juga telah menamatkan PKP Diperketatkan di Penjara Seremban dan Kuarters Penjara Seremban. Kerajaan telah melaksanakan PKPD di Penjara Seremban dan Kuarters Penjara Seremban, Negeri Sembilan selama tujuh hari yang sepatutnya tamat 31 Disember ini.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 1,872 ujian saringan dan sebanyak 1,079 kes kumulatif positif Covid-19 telah direkodkan yang melibatkan tahanan dan kakitangan di
penjara ini.

“Bagaimanapun, KKM mengesahkan sehingga kini baki kes aktif di penjara ini menurun serta terkawal dan tiada lagi sampel yang menunggu keputusan dan atas nasihat KKM, PKPD ditamatkan di kedua-dua tempat itu hari ini,” katanya dalam sidang media hari ini.

Manakala bagi Johor pula, kata Ismail Sabri, PKPB dilanjutkan sehingga 14 Januari ini di daerah Johor Bahru dan Batu Pahat tetapi PKPB di Kulai ditamatkan hari ini iaitu dua hari dari tarikh asal.

Menurut KKM, katanya, peningkatan kes di Johor Bahru berlaku bermula 26 Disember lalu dan dalam tempoh dua minggu baki kes aktif di daerah berkenaan sebanyak 756 kes manakala bagi Batu Pahat, sehingga kini sebanyak 151 kes direkodkan dalam masa 14 hari.

Bagaimanapun, bagi daerah Kulai, KKM mengesahkan baki kes aktif menunjukkan trend penurunan dan terkawal sebelum dipersetujui untuk ditamatkan hari ini.

Ismail Sabri juga menegaskan PKPD di Penjara Kluang dan Kuarters Penjara Kluang dilanjutkan selama 14 hari lagi bermula 1 hingga 14 Januari depan selepas KKM mendapati secara kumulatif sebanyak 447 kes positif telah direkodkan dalam kalangan tahanan dan kakitangan penjara ini daripada 1,974 ujian saringan yang dilaksanakan.-MalaysiaGazette